KANAK-KANAK itu (dalam bulatan) yang dipaksa melakukan ketuk-ketampi oleh ibunya sebagai hukuman kerana meraba punggung rakan sekelas. - Agensi
KANAK-KANAK itu (dalam bulatan) yang dipaksa melakukan ketuk-ketampi oleh ibunya sebagai hukuman kerana meraba punggung rakan sekelas. - Agensi
Agensi

GUIZHOU: Seorang kanak-kanak lelaki di Guiyang dipaksa melakukan ketuk-ketampi dalam keadaan separuh bogel di khalayak ramai sebagai hukuman kerana memegang punggung budak perempuan sekelasnya.

Ibu kanak-kanak berusia tujuh tahun itu dilaporkan memaksa anaknya menanggalkan pakaiannya dan hanya memakai seluar dalam sebelum mendendanya.

Wanita itu kemudian mengarahkan kanak-kanak berkenaan membuat ketuk-ketampi sambil disaksikan orang ramai.

“Guru menghubungi saya dan memberitahu anak saya meraba punggung seorang murid perempuan di kelasnya.

“Oleh itu, saya harus mengajar dia,” katanya kepada media tempatan.

Wanita yang enggan namanya disiarkan itu memberitahu stesen televisyen Guizhou dia berbuat demikian kerana mahu anaknya merasai perasaan mangsa, lapor Daily Mail.

“Saya akan layan dia sebagaimana dia lakukan terhadap orang lain. Biar dia merasai dihukum dan disaksikan orang ramai.

“Biarpun guru kata dia masih kecil, namun perbuatan itu adalah serangan seksual sekiranya dia melakukannya ketika dewasa,” katanya yang memberitahu anaknya sering memberontak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 8:13 AM