Hadzlihady Hassan


“SAYA bagitau (beritahu) mak dan bapa pergi Pesta Pulau Pinang, sebab dah malam akhir.

“Tapi depa (mereka) tak tahu yang saya sebenarnya ikut kawan pergi merempit,” kata remaja lelaki berusia 15 tahun yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Bayan Lepas, awal pagi, hari ini.

Pelajar Tingkatan Tiga itu berkata, dia meminjam motosikal abangnya dan memberi alasan akan pulang awal.

Menurutnya, dia menunggang motosikal tanpa lesen sejak Tingkatan Satu dan ini kali kedua disaman polis.

“Saman polis yang dulu masih belum bayar dan saya sembunyikannya daripada pengetahuan keluarga kerana bimbang dimarah.

“Tapi kali ni, ibu dan bapa mesti tahu sebab mereka akan dipanggil ke balai,” katanya yang ditemui di Balai Polis Bayan Baru.

POLIS mengeluarkan 400 saman atas pelbagai kesalahan pada operasi Samseng Jalanan selepas Ambang Tahun Baru, semalam. FOTO Hadzlihady Hassan
POLIS mengeluarkan 400 saman atas pelbagai kesalahan pada operasi Samseng Jalanan selepas Ambang Tahun Baru, semalam. FOTO Hadzlihady Hassan

Dalam operasi bermula 3 pagi sekitar Bayan Lepas itu, lebih 400 saman dikeluarkan polis terhadap penunggang motosikal yang melakukan pelbagai kesalahan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, A A Anbalagan berkata, dalam operasi Samseng Jalanan selepas Ambang Tahun Baru itu polis menahan 339 penunggang dan 146 pembonceng motosikal.

“Kita juga merampas sembilan motosikal yang ditinggalkan penunggang yang melarikan diri kerana mungkin tidak mempunyai lesen atau melakukan kesalahan lain.

“Lebih 400 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan antaranya tidak memiliki lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, memandu secara berbahaya dan mengubahsuai motosikal,” katanya.

Menurutnya, semua mereka yang ditahan itu akan menjalani ujian saringan air kencing.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 42(1) akta yang sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 9:20 AM