HANIF bersama keluarga menonton J Revolusi.
HANIF bersama keluarga menonton J Revolusi.
Syafil Syazwan Jefri

Nama Tun Mohammed Hanif Omar cukup besar dalam dunia kepolisan dan sentiasa dikenang mereka yang sezaman dengannya.

Pernah menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Polis Negara (KPN) selama 20 tahun, beliau individu yang bertanggungjawab mewujudkan pasukan Unit Tindak Khas (UTK).

Ahad lalu Hanif meluangkan masa menonton filem J Revolusi yang mengangkat kredibiliti UTK.

Beliau yang ditemui selepas tamat tayangan berkata, J Revolusi karya terbaik yang pernah dihasilkan pembikin filem tempatan.

“Saya wujudkan UTK pada 1975 khusus untuk menangani pengganas pada waktu itu. Saya jadikan pasukan Special Weapons and Tactics (SWAT) sebagai inspirasi.

“Menerusi J Revolusi, masyarakat didedahkan dengan kepakaran dan peralatan UTK,” katanya.

Kata Hanif, garapan kreatif Zulkarnain Azhar selaku sutradara menarik perhatian penonton untuk hadir ke pawagam.

“Saya puji apabila dia turut menyuntik beberapa elemen seperti drama, romantik dan banyak lagi dalam jalan cerita. Ia jadi daya penarik untuk orang ramai menonton filem ini,” katanya.

Ditanya mengenai persamaan UTK yang dipaparkan dalam filem itu dengan dunia sebenar, Hanif menegaskan pegawai sebenar lebih cekap.

“Ada beberapa persamaan, itu tidak saya nafikan. Namun, UTK tidak hanya membunuh tetapi juga menyelamat.

“Kalau nak ulas, terlalu banyak kecekapan UTK tetapi ia akan jadi cerita yang berat sebelah pula dan siapa akan tertarik untuk menonton, kan?” katanya.

Sebelum ini, Pengurus Besar, Kandungan Inovasi dan Digital Primeworks Distribution Marini Ramlan berkata, J Revolusi berjaya membuktikan filem tempatan juga mampu bersaing dengan karya Hollywood.

“J Revolusi ditayangkan serentak dengan beberapa filem mega Hollywood. Apa yang membanggakan, J Revolusi berada di kedudukan selesa dalam carta.

“Ia sekali gus membuktikan filem ini mampu bersaing dengan karya luar,” katanya.

Sehingga kini, J Revolusi masih ditayangkan di lebih 40 pawagam seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 3:26 AM