Filem Abang Adik berjaya menempa beberapa kemenangan di Festival Filem Far East ke-25.
Filem Abang Adik berjaya menempa beberapa kemenangan di Festival Filem Far East ke-25.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Filem bergenre drama kekeluargaan, Abang Adik berjaya mencatat kutipan RM5.2 juta dalam tempoh 24 hari setakat 6 Januari lalu untuk tayangan di Malaysia. 

Filem arahan Jin Ong itu juga melakar sejarah sebagai filem Malaysia pertama yang memecahkan rekod tayangan di Taiwan dengan kutipan pecah panggung sebanyak RM13.5 juta (NT$90 juta). 

Ong meluahkan rasa terima kasih dan terharu atas maklum balas serta komen positif daripada penonton kepada filem yang menelan belanja sekitar RM3.8 juta itu. 

"Kami juga sangat berterima kasih dan terharu dengan maklum balas serta komen-komen positif dan publisiti percuma menerusi ulasan serta perkongsian dan gesaan kepada semua yang belum pernah menonton Abang Adik untuk datang ke pawagam dan menonton.

"Dengan sokongan peminat yang menghargai karya kami, Abang Adik dapat memperoleh kutipan pecah panggung untuk menutup tahun 2023 dan membuka kedatangan 2024.

"Terima kasih yang sebesarnya buat semua dan jangan berhenti menguar-uarkan Abang Adik yang masih ditayangkan di beberapa pawagam kepada yang belum menonton," katanya. 

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Kamil Othman menggambarkan Abang Adik sebagai filem yang memaparkan realiti kehidupan. 

"Anda bukan sekadar menonton filem. Anda menonton realiti kehidupan. Abang Adik adalah filem yang menggambarkan wajah Malaysia yang sebenar," katanya. 

Filem Abang Adik berjaya menempa beberapa kemenangan antaranya tiga hadiah di Festival Filem Far East ke-25 yang berlangsung di Itali pada April tahun lalu. 

Abang Adik lakonan Jack Tan dan Wu Kang Ren mengisahkan kehidupan dua beradik yatim piatu. 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 7:19 PM