Amirul Haswendy Ashari


Filem aksi J-Revolusi dianggap filem terbaik genre aksi pernah dihasilkan tahun ini. Kemanisan berganda apabila berjaya mengutip RM4.3 juta selepas dua minggu ditayangkan.

Selama dua minggu filem arahan Zulkarnain Azhar itu berada dalam Top 3 bersama dua filem besar Hollywood, Logan dan Kong: Skull Island.

Bukan setakat menjadi buah mulut peminat filem tempatan, J Revolusi turut mendapat perhatian karyawan filem tempatan.

Pengarah filem Polis Evo, Ghaz Abu Bakar berpendapat filem J Revolusi memiliki babak aksi yang digilap sempurna.

Katanya, ia nampak bagus sebab ada ‘benchmark’ sama dengan Polis Evo dulu, tambah pula dapat kerjasama Unit Tindakan Khas (UTK).

“Memang nampak gah. Ia juga membuka peluang kepada agensi kerajaan lain untuk membantu. Saya terfikir, pada masa depan kita akan ada cerita pasal bomba atau kastam pula,” katanya.

Ghaz memuji barisan pelakon J-Revolusi kerana memberi persembahan hebat, terutama pelakon utamanya, Zul Ariffin.

Katanya, Zul berjaya membawa pesona sebagai seorang adiwira dan membuatkan penonton rasa bangga.

Walaupun pengarahnya orang baru dalam dunia pengarahan filem, Ghaz memuji Zulkarnain berjaya mengemudinya dengan cara terhormat.

“Ditambah pula pasukan produksi yang kuat, tidak hairan J-Revolusi mendapat tempat di hati penonton tempatan,” katanya.

Produser Datuk Yusof Haslam yang sering tampil dengan filem-filem hebat terbitan Skop Production Sdn Bhd menyifatkan J-Revolusi filem berkaitan polis dan memujinya sebagai karya terbaik bukan saja dari segi cerita tetapi juga cara pembikinannya.

“Ia kali pertama mendedahkan sisi UTK yang jarang diperkatakan ramai. Bagi saya ia usaha yang baik daripada pihak produser sebab jarang ada produksi yang memaparkan imej UTK,” katanya.

Pengarah yang sinonim dengan drama dan filem bergenre kepolisan itu turut berpendapat biarpun J-Revolusi mempunyai elemen fiksyen bagi menarik perhatian penonton tempatan, ia masih mengekalkan kualiti tersendiri.

“Kali pertama menonton filem ini ketika sesi tayangan di Lembaga Penapisan Filem (LPF) beberapa bulan lalu. Pada awal, filem itu bergerak perlahan tetapi selepas diberi sedikit ‘input’ untuk menambah baik jalan cerita, J-Revolusi menjadi lebih menarik.

“Apabila disunting semula dan membuat sedikit penambahan, saya tonton filem ini ketika tayangan galanya dan yakin J-Revolusi mampu pergi jauh.

“Bagi saya, filem aksi ada pasaran tersendiri. Pengarahnya biarpun masih muda, dia wajar diberi pujian,” katanya.

Begitu juga dari segi lakonan, Yusof menyifatkan barisan pelakonnya memberikan persembahan yang baik.

Katanya, Zul Ariffin memainkan peranannya dengan baik melalui corak persembahan berbeza dari sebelum ini.

“Penceritaan J-Revolusi sendiri lari dari kebiasaan penceritaan filem Melayu sedia ada. Walaupun ada sedikit perbezaan, ia tetap dipersembahkan dalam bentuk baru.

“Saya yakin filem itu mampu mencecah kutipan pecah panggung, biarpun lambat tapi dengan masa yang ada, ia boleh mencapai kejayaan,” katanya.

Bagi pelakon jelita, Janna Nick, peluang menonton filem itu hujung minggu lalu membolehkan dia melihat betapa hebatnya filem aksi yang kini diperkatakan itu.

Dia sukakan koreografi aksi yang dipersembahkan begitu juga skrip dan lakon layarnya yang tidak meleret disebabkan dialog yang ringkas tapi padat.

“Mengenai karakter pula, semua pelakon berjaya membawa watak masing-masing tanpa wujud situasi ‘makan watak’ lain,” katanya.

Janna yang kini sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Dia berasa bangga kerana wujud filem yang mampu meletakkan industri filem Malaysia ke tahap yang boleh dibanggakan.

Filem terbitan Grand Brilliance (GB) dan Infinitus Entertainment ini ditayangkan di pawagam tempatan sejak 2 Mac lalu. Ia turut menampilkan pelakon hebat tempatan antaranya Farid Kamil, Izara Aisyah, Nur Fazura dan Azad Jasmin.

Sementara itu, bermula semalam (Sabtu), filem itu juga mencatat sejarah ditayangkan di Cinema LFS, Paya Bunga Sentral, Kuala Terengganu sekali gus filem Melayu pertama ditayangkan di bandar itu selepas 22 tahun tiada pawagam dan tayangan filem.

Filem itu juga ditayangkan di Singapura apabila menjalin kerjasama dengan Dlux Entertainment.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2017 @ 5:04 AM