Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Sepanjang cuti persekolahan ini, filem aksi J Revolusi terus mencatat kutipan memberangsangkan iaitu sebanyak RM6 juta selepas tiga minggu tayangan.

Pengurus Besar Inovasi & Edaran, Primeworks Distribution Sdn Bhd, Marini Ramlan berkata, biarpun bulan ini mereka berdepan cabaran dengan filem Hollywood popular, tetapi J Revolusi terus menggegar pawagam apabila ia ditonton lebih 445,000 penonton.

“Sejak cuti persekolahan bermula Jumaat lalu, kami menerima jumlah penonton yang ramai terutama di Kedah, Johor Bahru, Putrajaya dan Kuala Terengganu.

"Kami gembira dengan sokongan padu penonton terhadap filem ini. Kami berharap warga Malaysia akan ke panggung wayang untuk menonton filem aksi yang mengetengahkan skuad elit PDRM (Polis Diraja Malaysia) iaitu UTK (Unit Tindakan Khas) ini," katanya.

Menurut Marini, pihaknya turut berharap jumlah penonton akan terus meningkat pada hujung minggu ini memandangkan cuti semester kebanyakan universiti awam dan swasta akan bermula.

"Kami menerima maklum balas positif mengenai filem ini. Rata-rata komen yang diberikan memuji jalan cerita filem ini yang mengangkat nama Malaysia ke satu tahap yang membanggakan,"katanya.

Sementara itu, menerusi laman Facebook rasmi J Revolusi, rata-rata peminat filem ini menggemari watak jahat iaitu Andra lakonan Farid Kamil dalam undian yang dikendalikan.

Undian itu membabitkan dua watak utama iaitu Jay Zulkarnain lakonan Zul Ariffin dan Andra.

Dalam tempoh tiga jam proses pengundian yang berlangsung semalam, watak Andra memperoleh 613 undi manakala Jay mendapat 512 undian.

Sebanyak 1,125 operatif direkodkan mengundi dengan 16,102 reaksi diberi peminat. Undian itu menekankan watak Andra sebagai individu jahat yang ingin menakluki dunia, manakala Jay menjadi wira yang ingin menyelamatkan dunia dan keluarganya.

Selain padat dengan aksi-aksi pertempuran, J Revolusi turut mengetengahkan nilai-nilai kekeluargaan.

Filem lakonan Zul Ariffin, Farid Kamil, Azad Jasmin, Izara Aishah dan Nur Fazura itu mula ditayangkan sejak 2 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2017 @ 6:56 PM