Rosmah bergambar bersama anak-anak PERMATA di Majlis Pelepasan Peserta PERMATA On Wheels di Seri Perdana. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Rosmah bergambar bersama anak-anak PERMATA di Majlis Pelepasan Peserta PERMATA On Wheels di Seri Perdana. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 diharap diluluskan segera bagi melindungi kanak-kanak.

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata, beliau gembira kerana RUU berkenaan disokong semua peringkat wakil Parlimen tidak kira kerajaan atau pembangkang.

"InsyaAllah, sekarang pihak pembangkang juga sudah menyokong, jadi tidak ada isu. Justeru, seharusnya undang-undang ini diluluskan.

"Bagi pihak PERMATA, kita ucapkan terima kasih kepada semua Ahli Parlimen," katanya selepas melancarkan pelepasan 'PERMATA On Wheels' di Seri Perdana, di sini, hari ini.

Semalam, RUU Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang bertujuan melindungi dan menjaga kebajikan kanak-kanak dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

RUU itu dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Mengenai program 'PERMATA On Wheels', Rosmah yang juga Penaung Program PERMATA berkata, jelajah akan memasuki kawasan pedalaman terutama kampung Orang Asli untuk memberi kesedaran mengenai kepentingan pembelajaran dan pelajaran kepada kanak-kanak berusia bawah empat tahun.

"Usaha kami adalah untuk memberi kesedaran kepada mereka yang tinggal di kawasan pedalaman iaitu mustahaknya pendidikan awal kanak-kanak ini.

"Buat masa ini, kita memilih tempat tertentu yang memerlukannya malah kita sentiasa memikirkan keperluan diperlukan masyarakat luar bandar terutama dari segi pembelajaran dan pelajaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2017 @ 3:33 PM