Rosmah merasmikan Majlis Prapelancaran dan Sidang Media Seminar Jenayah Seksual Kanak-kanak :Hentikan!! di Seri Perdana Putrajaya. Turut hadir Rohani (kanan) dan Azalina. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Rosmah merasmikan Majlis Prapelancaran dan Sidang Media Seminar Jenayah Seksual Kanak-kanak :Hentikan!! di Seri Perdana Putrajaya. Turut hadir Rohani (kanan) dan Azalina. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Empat penceramah terkemuka luar negara yang berpengalaman dalam bidang masing-masing dan bergiat aktif dalam membanteras isu jenayah seksual kanak-kanak akan menyertai Seminar Jenayah Seksual Kanak-kanak: Hentikan!! di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 13 hingga 14 Mac ini.

Pakar-pakar terbabit adalah Donald Findlater dari Lucy Faithful Foundation and Stop It Now, England; Carol Ronken dan Hetty Johnson dari Bravehearts, Australia dan Vidya Reddy dari Tulir-Centre for Prevention & Healing of Child Sexual Abuse, India.

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang memandang serius terhadap jenayah yang berlaku dan dilakukan ke atas kanak-kanak dan remaja menegaskan, isu itu turut menggugat keselamatan serta hak mereka.

"Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga Oktober tahun lalu menunjukkan 12,025 kes pelbagai jenayah seksual yang membabitkan kanak-kanak bawah 18 tahun dilaporkan, dan statistik ini meningkat setiap tahun.

"Ini statistik yang dilaporkan, yang tidak dilaporkan kita tidak tahu angka sebenar, jadi saya berharap penganjuran seminar ini dapat menggalakkan pembabitan secara bersama semua pihak berkepentingan dalam menangani dan menghentikan isu jenayah seksual," katanya pada Majlis Prapelancaran dan Sidang Media Seminar Jenayah Seksual Kanak-kanak: Hentikan!! di Seri Perdana di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Karim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Rosmah berkata, kanak-kanak adalah sebahagian daripada aset utama negara dan isu keselamatan serta kesejahteraan mereka memerlukan keprihatinan semua lapisan masyarakat bagi memastikan mereka sentiasa selamat dan dapat meneruskan kehidupan alam kanak-kanak dengan sejahtera.

Seminar yang akan diadakan secara percuma ini dianjurkan oleh PERMATA dengan kerjasama Task Force Berkenaan Isu-isu Jenayah Seksual Kanak-kanak yang dipengerusikan Azalina; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KMM).

Rosmah berkata, objektif utama seminar itu adalah meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai jenayah seksual kanak-kanak dan cara melindungi kanak-kanak daripada sebarang ancaman jenayah.

"Ia juga bertujuan mendapatkan komitmen daripada semua pihak dalam usaha mencegah dan membasmi jenayah seksual kanak-kanak serta menyediakan perkhidmatan sokongan.

"Selain itu, ia juga bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai perlunya mewujudkan satu akta baharu berkenaan jenayah seksual kanak-kanak," katanya.

Menurutnya, seramai 2,000 peserta dari pelbagai kumpulan berkepentingan dijangka hadir pada seminar itu.

"Saya berharap penganjuran seminar ini akan membantu kerajaan untuk membawa perubahan legislatif mencegah jenayah seksual kanak-kanak serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai seriusnya jenayah ini sebelum Rang Undang-undang Jenayah Seksual Kanak-kanak diluluskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2017 @ 12:34 PM