Ahmad Amiruddin Mohamed ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang 24 Februari lalu, atas tujuh pertuduhan menyalahgunakan wang berjumlah RM830,000 untuk aktiviti pelaburan pajakan hotel dan perdagangan kelapa sawit.  - Foto Fail (ZULFADHLI ZULKIFLI).
Ahmad Amiruddin Mohamed ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang 24 Februari lalu, atas tujuh pertuduhan menyalahgunakan wang berjumlah RM830,000 untuk aktiviti pelaburan pajakan hotel dan perdagangan kelapa sawit. - Foto Fail (ZULFADHLI ZULKIFLI).
Murni Wan Omar


Kuala Lumpur: Seorang bekas guru dan perunding hartanah, Ahmad Amiruddin Mohamed, 46, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, bagi pertuduhan menyalahgunakan wang RM339,000 untuk pelaburan pajakan Hotel Makkah Islamic.

Tertuduh bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan hadapan Majistret Ahmad Solohin Abd Wahid.

Ahmad Amiruddin didakwa memperdaya mangsa untuk melaburkan wang ke dalam akaun syarikat milik tertuduh AAM Global Corporation Sdn Bhd yang menjalankan aktiviti pajakan hotel sedangkan pelaburan itu tidak wujud.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank cawangan Jalan Kampar, Sentul, dekat sini, antara 7 Ogos 2015 sehingga 28 Julai 2016.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 10 tahun dan boleh dikenakan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh sebelum ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang dan Ampang atas pertuduhan yang sama membabitkan mangsa yang berlainan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2017 @ 1:47 PM