Sheikh Saidey bersama isterinya Sofia Affendi yang didakwa di Mahkamah Majistret Johor semalam hari ini didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. FOTO NSTP
Sheikh Saidey bersama isterinya Sofia Affendi yang didakwa di Mahkamah Majistret Johor semalam hari ini didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. FOTO NSTP
Sarah Zulkifli


Kuala Lumpur : Selepas didakwa semalam di Mahkamah Majistret Johor Bahru, seorang ahli perniagaan sekali lagi didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menipu berhubung pelaburan pajakan bilik hotel di Makkah membabitkan kerugian lebih RM320,000 antara November 2015 dan Jun tahun lalu.

Tertuduh, Sheikh Saidey Nor Sheikh Abdul Rahman, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid.

Mengikut pertuduhan, Sheikh Saidey didakwa menipu dengan memperdaya seorang pengarah syarikat, Mohd Ismail Norbat melalui penama Nor Hazeerena Hamdan dengan menawarkan pajakan bilik hotel di Makkah yang tidak wujud.

Perbuatan itu mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM324,300 ke dalam akaun Nor Hazeerena sebelum dipindahkan ke lapan akaun yang diuruskan oleh tertuduh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Desa Pandan, di sini, antara 27 November 2015 dan 30 Jun tahun lalu dan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 14 Februari ini sebagai sebutan semula kes.

Semalam, tertuduh bersama isterinya, Sofia Affendi, 42, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, atas dua pertuduhan memperdaya dan bersubahat berhubung pelaburan pajakan hotel di Makkah serta Madinah membabitkan kerugian hampir RM600,000, dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 1:45 PM