Huang (lima dari kanan) mendengar penerangan daripada Pengerusi Pertubuhan Pemilik Bot Ikan Kedah, Toh Sang Chai (empat dari kanan) di pelantar pendaratan ikan di Kuala Kedah. FOTO Amran Hamid
Huang (lima dari kanan) mendengar penerangan daripada Pengerusi Pertubuhan Pemilik Bot Ikan Kedah, Toh Sang Chai (empat dari kanan) di pelantar pendaratan ikan di Kuala Kedah. FOTO Amran Hamid
Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Setar: China yakin Projek Pembangunan Terminal Perikanan Bersepadu Kedah (KIFT) di Kuala Kedah, di sini, berpotensi menjadikan Kedah antara hab perikanan moden dan bertaraf dunia dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Duta Besar China ke Malaysia, Dr Huang Huikang berkata, menerusi pelaburan syarikat negara itu, Lu Hai Feng Ltd yang berpangkalan di Qingdao, China akan membawa masuk pelbagai teknologi tinggi dan moden dalam industri perikanan.

“Projek KIFT boleh menjadikan Kedah hab perikanan bersepadu sekali gus dapat menarik lebih banyak pelaburan dari merata tempat bukan saja dari China.

“Menerusi teknologi tinggi yang dibawa dalam projek ini akan turut membawa kesan ekonomi yang besar dan memacu pembangunan ekonomi Kedah,” katanya ketika sesi taklimat ringkas oleh Pengarah Eksekutif syarikat Lu Haifeng Development (Malaysia) Sdn Bhd, Li Pin di Kuala Kedah di sini, hari ini.

Beliau turut meninjau operasi nelayan di pelantar pendaratan ikan di Kuala Kedah.

Hadir sama Penasihat Invest Kedah, Datuk Dr Cheah Soon Hai dan Pengerusi Pertubuhan Pemilik Bot Ikan Negeri Kedah, Toh Sang Chai.

Projek KIFT yang akan dibangunkan di Kuala Tebengau di sini, dengan kos keseluruhan RM3 bilion termasuk pembelian kapal dan pembinaan pelabuhan dijangka beroperasi pada 2020.

Daripada RM3 bilion yang dilaburkan, RM2 bilion diperuntukkan bagi pembelian 20 kapal menangkap ikan tuna selain turut membabitkan penyediaan kemudahan perikanan moden seperti taman industri makanan laut, kemudahan sejuk beku dan pusat lelongan ikan tuna seperti yang terdapat di Pasar Tsukiji, Tokyo.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2017 @ 1:11 PM