Mustapa
Mustapa

Alor Setar: Walaupun Malaysia menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kelak, ia dijangka tidak akan memberi kesan kepada Dasar Padi dan Beras Negara.

Ini berikutan, menerusi TPPA, negara yang menyertainya diminta untuk memansuhkan duit import ke atas beras ke negara ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, syarat yang dikenakan ke atas negara Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), sama sekali tidak menjejaskan Malaysia berikutan negara ini sememangnya tidak mengamalkan duti import ke atas beras dari luar.

“Dalam TPPA, mereka nak kita mansuhkan duti import pada beras. Kita rasa ia tidak menjadi masalah berikutan mereka minta suatu perkara yang memang sudah kita buat.

“Ini kerana di negara ini, tiada sebarang duti import dikenakan apabila BERNAS (Padiberas Nasional Berhad) membeli beras, ” katanya ketika Majlis Taklimat TPPA di Wisma Darul Aman, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

TPPA adalah perjanjian perdagangan terbesar dunia membabitkan 11 negara iaitu Jepun, Amerika Syarikat, New Zealand, Australia, Kanada, Brunei Darussalam, Singapura, Vietnam, Mexico, Chile dan Peru.

Mustapa berkata, kerajaan juga akan meneruskan subsidi 60 peratus daripada kos pengeluaran membabitkan tanaman padi walaupun memeterai TPPA kelak.

“TPPA juga tidak akan menyebabkan kebanjiran beras asing termasuk dari Amerika Syarikat kerana sebelum ini beras dari sana (Amerika Syarikat) juga sudah ada di pasaran kita dengan harga RM9 sekilogram, ” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata, kerajaan berharap projek pembangunan Terminal Ikan Bersepadu (KIFT) di Kuala Tebengau, dekat sini, dapat dimasukkan dalam rangka inisiatif Jalan Sutera Laut (Maritime Silk Road), diperkenalkan China.

Menurutnya, projek KIFT bertaraf antarabangsa itu membabitkan nilai pelaburan RM2 bilion dan mendapat kerjasama dengan syarikat dari China berpangkalan di Qingdao.

“Kita cadangkan ia dimasukkan dalam jaringan Maritime Silk Road yang diperkenalkan China dan mendapat sambutan oleh negara kita. Ini kerana China berhasrat merapatkan hubungan dengan negara jiran dan kita harus menggalakkan pelaburan ini.

“Apabila projek ini dimasukkan ke dalam inisiatif itu, ia menjadi projek yang akan dipantau secara rasmi oleh kerajaan selain diberi keutamaan tinggi, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2015 @ 9:15 AM