KAEDAH SLT di zon akuakultur di Pulau Simpang Tiga.
KAEDAH SLT di zon akuakultur di Pulau Simpang Tiga.

Kekurangan sumber perikanan yang dihadapi dunia hari ini bertambah meruncing dalam tempoh 15 tahun akan datang.

Badan penyelidik antarabangsa World Fish Centre (WFC) menyatakan pe­ngeluaran ikan dunia kini sebanyak 160 juta tan dan pe­ngeluaran perlu ditingkat­kan kepada 238 juta tan dalam tempoh itu.

Realitinya jumlah itu sukar dicapai kerana sumber ikan di laut semakin berkurangan kerana aktiviti menangkap ikan secara besar-besaran terutama penggunaan teknologi tinggi serta kapal laut dalam dan pukat besar.

Perkembangan ini turut mengancam kehidupan komuniti nelayan yang bergantung hidup kepada aktiviti perikanan.

World Wildlife Fund (WWF) mengakui jika aktiviti penangkapan ikan secara besar-besaran terus dilakukan, ikan akan me­ngalami kepupusan dalam tempoh 16 tahun lagi.

Kejayaan negara Norway membangunkan industri penternakan ikan salmon sehingga menjadi negara pengeksport terbesar salmon di dunia membuktikan penternakan ikan secara moden dan berteknologi ting­gi adalah langkah terbaik.

Penternakan ikan secara moden akan menjadi satu kerjaya dan sumber ekonomi masa hadapan yang lebih baik, kata Ketua Pegawai Eksekutif Aquagrow Corporation Mohamed Razali Mohamed.

Mengaplikasikan kaedah sama seperti di Norway, projek penternakan Sangkar Laut Terbuka (SLT) di zon aquakultur di Pulau Simpang Tiga, Langkawi, menjadi projek perintis penternakan ikan secara moden di laut terbuka.

Melalui kerjasama Jabatan Perikanan dan kerajaan Norway, sangkar ikan diperbuat daripada High-­density Polyethylene (HDPE) yang digunakan dalam penternakan ikan salmon.

Projek SLT di Pulau Simpang Tiga, Laut Andaman dimulakan tiga tahun lalu dengan menggunakan 18 sangkar bulat HDPE buatan Norway.

Empat jenis ikan diternak dalam sangkar itu seperti ikan merah (crimson snapper), siakap (barramundi) dan dua jenis kerapu iaitu kerapu harimau (tiger grouper) dan kerapu kertang (grouper spp).

Setiap satu sangkar mampu memuatkan 40,000 ikan bersaiz satu kilogram.

"Penternakan berskala tinggi seperti ini memang memakan modal, paling minimum RM20 juta tapi semakin besar pelaburannya lebih elok kerana kos produksi dapat dikurangkan," katanya.

Menurutnya, ia penting bagi menyaingi negara maju dalam penternakan ikan seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Sebelum dilepaskan dalam sangkar di laut, pembenihan ikan dijalankan di Pusat Inkubator Nurseri di Bukit Malut.

Aplikasi Intergrated Aquaculture Intelligent Solution (IAIS) digunakan di Norway dan Scotland turut digunakan di sini.

Teknologi IAIS membantu mengesan pelbagai parameter kualiti air termasuk oksigen terlarut, arus, nilai pH dan suhu.

"Ia sangat penting terutama ketika proses awal penetasan supaya kadar kematian anak-anak ikan dapat dikurangkan dan membolehkan mereka cepat membesar," katanya.

Selepas sebulan, anak ikan akan dimasukkan dalam kolam khas ­dengan ­diberi makanan dalam bentuk pelet sepenuhnya selama dua bulan sehingga ­mencapai saiz empat sentimeter.

Pada usia tiga bulan, anak ikan ini dimasuk dalam sang­kar di laut terbuka dan terus diberi makanan pelet sehing­ga mencapai saiz yang diingini untuk dipasarkan.

Ikan segar itu dieksport ke Singapura, Hong Kong dan China manakala ikan yang diproses dalam bentuk filet dieksport ke Australia, Eropah dan Amerika Syarikat.

"Tahun lalu, kami ­mengeluarkan 150 tan ikan dan dijangka meningkat 500 tan tahun ini.

"Kita sasarkan pada 2017 kita mampu menghasilkan 1,500 tan ikan di Langkawi," katanya.

Selain Langkawi, Aquagrow juga membuka lokasi penternakan SLT di Tok Bali Kelantan awal tahun ini dan Pulau Perhentian tahun depan.

Katanya, penyertaan ramai usahawan dalam bidang itu akan mempercepatkan proses melahirkan pakar dalam industri perikanan yang kini banyak bergantung kepada tenaga luar.

"Aquagrow sendiri terpaksa mengambil tenaga kerja luar dari pering­kat pengurusan sehingga yang bekerja di kolam ikan," katanya yang mengambil pekerja dari Australia, Perancis, Filipina dan Vietnam.

Dalam tempoh 10 tahun akan datang, pakar luar ini akan diganti dengan tenaga pakar tempatan.

Bagi melahirkan lebih ramai usahawan industri perikanan, Aquagrow diberi tanggungjawab melalui program tanggungjawab sosial korporatnya untuk melatih usahawan baru.

Program yang mendapat kerjasama Biotech Corporation Malaysia dan Koridor Utara itu dijangka bermula awal tahun depan dengan memilih enam usahawan tempatan di Langkawi.-BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 January 2015 @ 5:02 AM