GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Sarah Zulkifli


Petaling Jaya: Guru Matematik didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan mencederakan murid Tahun 3 di dalam kelas di sekolah kebangsaan di sini, pertengahan tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Siti Noohidayani Mohd Salamun, 27, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah.

Dia yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia tujuh bulan itu memakai jubah dan tudung berwarna dilihat tenang sepanjang prosiding.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap murid perempuan yang ketika itu berusia sembilan tahun di sekolah, 8.10 pagi pada 16 Jun 2016.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 April ini sebagai sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2017 @ 1:25 PM