MOHAMAD Nawi Che Heng, (tengah) dibawa keluar Mahkamah Majistret Kuantan setelah berdepan dengan pertuduhan membunuh jiran Sulong Merah, di sebuah rumah di Kampung Peramu pada 1 Sept lalu. FOTO BERNAMA
MOHAMAD Nawi Che Heng, (tengah) dibawa keluar Mahkamah Majistret Kuantan setelah berdepan dengan pertuduhan membunuh jiran Sulong Merah, di sebuah rumah di Kampung Peramu pada 1 Sept lalu. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuantan: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh jirannya, minggu lalu.

Tertuduh Mohamad Nawi Che Heng, 40, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Farahah Mohd Suah.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Lelaki itu didakwa membunuh Sulong Merah, 67, pada jam 12.30 tengah hari, 1 September lalu, di sebuah rumah di Kampung Peramu, di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Aiysha Na'ilah Harizan memohon tertuduh dihantar ke Hospital Permai di Johor bagi menjalani pemeriksaan mental.

Nurul Farahah membenarkan permohonan itu dan menetapkan 8 Oktoberuntuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan patologi, asid deoksiribonukleik (DNA) dan penilaian kesihatan tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 3:36 PM