SHANTI dibawa ke  Mahkamah Majistret Petaling Jaya.
SHANTI dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya.
Sarah Zulkifli


Petaling Jaya: Seorang peguam wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan menipu dua individu berhubung pelaburan flat sederhana yang tidak wujud membabitkan kerugian RM450,000, tahun lalu.

Bagaimanapun, J Shanti, 47, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan di hadapan Majistret Zaki Asyraf Zubir, dia didakwa menipu pengarah syarikat pengeluar alat ganti lori, Teh Jit Keong, 46, dengan memperdayakannya untuk melabur bagi flat kos sederhana yang tidak wujud.

Akibat perbuatan tertuduh, mangsa didorong untuk menyerahkan dua keping cek keseluruhannya berjumlah RM300,000 ke dalam akaun milik tertuduh.

Sementara itu, di hadapan Majistret Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah, tertuduh turut mengaku tidak bersalah menipu Saw Lae Kun, 31, dengan cara yang sama membabitkan RM150,000.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di E-5-05 Blok E, Oasis Square, No 2 Jalan PJU 1A/7A Ara Damansara di sini pada 6 Julai 2016.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik dan Natasha Chin Lee Jy.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhan RM15,000 dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Tertuduh yang diwakili peguam bela Lim You Ping membayar jaminan berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 4 dan 8 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2017 @ 3:35 AM