GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuantan: Empat lelaki termasuk dua remaja didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan membantu memberi pinjaman wang yang mengelirukan dan tidak jujur, Selasa lalu.

Teng Hao Yi, 26, Kee Choon Hong, 20, Chan Zi Xiang, 19, dan Lee Eng Chong, 54, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan, yang dibacakan di hadapan Majistret Nurul Farahah Mohd Suah.

Mereka didakwa menyimpan tiga keping sepanduk iklan pinjaman wang, seunit mesin pencetak, komputer riba (dua buah), fail dokumen peminjam (10), telefon bimbit pelbagai jenama (15 buah) dan sekotak kad perniagaan dengan maksud membantu mendorong mana-mana orang untuk meminjam wang.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Lorong Tok Sira di sini pada 7 pagi, 8 Mac lepas mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Aini Adilah Muhammad Faizal menawarkan jaminan RM3,000 untuk setiap tertuduh dengan seorang penjamin, bagaimanapun peguam Lau Yih Ying yang mewakili semua tertuduh, memohon jaminan minimum atas alasan setiap keluarga tertuduh, mampu mengumpulkan RM1,000 selepas hanya dimaklumkan mereka akan dihadapkan ke mahkamah hari ini.

Nurul Farahah membenarkan jaminan sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh, dan menetapkan 24 Mac untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 2:58 PM