Anggota pasukan keselamatan Pakistan berkawan di depan kompleks mahkamah di daerah Charsadda selepas serangan yang membunuh tujuh orang. - Foto AFP
Anggota pasukan keselamatan Pakistan berkawan di depan kompleks mahkamah di daerah Charsadda selepas serangan yang membunuh tujuh orang. - Foto AFP
Agensi

Islamabad: Sekurang-kurangnya tujuh terbunuh manakala 30 lagi cedera termasuk lima anggota polis selepas tiga pengebom nekad cuba memasuki mahkamah di daerah Charsadda timur laut Pakistan, hari ini.

Superintendan perubatan sebuah hospital tempatan, Mukhtar, berkata hospital itu menerima empat mayat dan 30 mangsa cedera.

Dua mangsa yang cedera kemudian disahkan meninggal dunia menjadikan jumlah mangsa korban enam orang. Antara yang maut termasuk seorang peguam.

“Sehingga kini, tujuh terbunuh dan 15 lagi cedera,” kata Ketua Polis Daerah, Suhail Khalid, kepada AFP.

Difahamkan, antara yang terbunuh itu termasuk tiga penyerang.

Reuters melaporkan, Ketua Polis Charsadda, Ijaz Khan, berkata semua tiga penyerang itu membawa bom tangan dan raifal AK-47.

Menurutnya, seorang penyerang meletupkan diri di luar mahkamah manakala dua lagi ditembak mati oleh polis sebelum mereka sempat memasuki bangunan mahkamah.

Kumpulan serpihan Taliban Pakistan, Jamaat-ul-Ahrar menerusi panggilan telefon kepada media tempatan mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu.

Sementara itu, Menteri Maklumat wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Mushtaq Ghani, berkata tindakan pantas polis berjaya menghalang penyerang daripada memasuki bangunan mahkamah.

Menurut skuad pemusnah bom, bahan letupan dianggar sembilan kilogram digunakan dalam serangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2017 @ 7:39 PM