TENTERA mengambil bahagian dalam operasi memburu penyerang di kampus universiti itu.
TENTERA mengambil bahagian dalam operasi memburu penyerang di kampus universiti itu.
PAKAR forensik memeriksa mayat penyerang yang bergelimpangan dalam bilik asrama.
PAKAR forensik memeriksa mayat penyerang yang bergelimpangan dalam bilik asrama.
Agensi

Charsadda (Pakistan): Sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh apabila sekumpulan lelaki bersenjatakan bom tangan dan raifal Kalashnikov menyerang sebuah universiti di sini, semalam.

Jumlah kematian meningkat dengan cepat selepas kumpulan itu menyerang Universiti Bacha Khan di bandar Charsadda, kira-kira 60 kilometer dari Peshawar, di barat laut Pakistan, keganasan terbaru yang melanda wilayah itu.

Polis, tentera dan pasukan khas mengepung universiti berkenaan di darat dan dari udara bagi mengekang serangan berkenaan.

Rakaman yang disiarkan televisyen menunjukkan pelajar wanita bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri sementara saksi berkata, mereka mendengar sekurang-kurangnya dua letupan.

“Angka kematian meningkat 21,” kata ketua polis Saeed Wazir, dengan kebanyakan mangsa pelajar lelaki yang ditembak di asrama mereka.

Seorang wartawan berkata, dia melihat darah dan perabot yang terbalik di asrama itu, tempat pasukan keselamatan mengepung empat penyerang.

“Lebih 30, termasuk pelajar, kakitangan dan pengawal keselamatan cedera,” kata Saeed.

Menurutnya, penyerang mengambil kesempatan dengan keadaan kabus tebal untuk melakukan keganasan.

Seorang jurucakap tentera berkata, empat penyerang ditembak mati, dua oleh penembak tepat.

Bagaimanapun, tidak jelas sama ada mereka termasuk dalam 21 orang yang disenaraikan mati oleh polis.

Umar Mansoor, pemerintah kumpulan Hakimullah Mehsud yang bernaung di bawah Taliban Pakistan mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.

“Empat penyerang berani mati kami melakukan serangan di Universiti Bacha Khan hari ini (semalam),” kata Umar dalam satu kenyataan.

Pasukan keselamatan percaya Umar juga merancang serangan serupa di sebuah sekolah kelolaan tentera berhampiran Peshawar, tidak jauh dari tempat serangan semalam, pada 2014 yang menyebabkan lebih 150 orang mati.

Pemimpin Taliban Pakistan menafikan terbabit.

“Taliban Pakistan mengecam serangan itu dan menjauhkan diri daripada keganasan yang tidak Islamik ini,” kata jurucakapnya Muhammad Khurasani dalam Twitter.

Dia juga berikrar akan mengheret mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Seorang pegawai kanan keselamatan berkata, muka penyerang sudah dikenali dan cop jari mereka juga sudah diambil.

“Kami berharap akan mengetahui identiti mereka. Dua daripada penyerang itu berusia belasan tahun dan dua lagi awal 20-an,” katanya.

Jurucakap perkhidmatan kecemasan berkata, jumlah kematian tidak ramai kerana pelajar dan pensyarah universiti turut menembak penyerang.

Pemimpin pembangkang Imran Khan memberitahu media di Charsadda, penduduk awam juga berkejar ke universiti itu bersama-sama senjata masing-masing untuk memerangi penyerang terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2016 @ 8:33 AM