MARECZKO (kiri) ketika aksi LTdL lalu.
MARECZKO (kiri) ketika aksi LTdL lalu.
Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Edisi ke-22 Le Tour de Langkawi (LTdL) semakin menarik apabila pasukan Willier Triestina turut menyenaraikan bekas pemenang peringkat Tour de France Filippo Pozzato.

Ia disahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LTdL Emir Abdul Jalal dengan pasukan profesional benua dari Itali berkenaan kini mencuri tumpuan selain kehadiran Jakub Mareczko.

“Pozzato antara bintang dunia berbasikal kerana rekodnya. Dia pemenang peringkat di Tour de France, Giro d’Italia dan Vuelta a Espana selain menjuarai Milan-Sanremo pada 2006. Ia mengimbau edisi terdahulu dengan LTdL mengalu-alukan kehadiran pelumba seperti Gianni Bugno dari Mapei, Jens Voigt atau Stuart O’Grady dari Credit Agricole.

“Ia penampilan pertamanya di LTdL pada usia 35 tahun yang dilihat sebagai aksi “pemanas badan” untuk mengharungi perlumbaan Milan-Sanremo dan membantu Mareczko mendominasi peringkat perlumbaan landai,” katanya.

Pakar pecut lain yang perlu diawasi ialah Andrea Palini (Androni Giocattoli), Nicolas Marini (Nippo-Vini Fantini), Paolo Simion (Bardiani CSF), Scott Sunderland (IsoWhey Sports Swisswellness), Park Sung Baek (KSPO) serta dua bintang tempatan dari Terengganu Cycling Team (TSG) Anuar Manan dan Mohd Harrif Saleh.

Saingan jersi kuning (individu terbaik keseluruhan) terarah kepada ayam tambatan Dimension Data Jacques Janse van Rensburg selain Egan Bernal (Androni Giocattoli), Daniel Jaramillo (Unitedhealthcare), Enrico Barbin (Bardiani CSF) serta Cameron Bayly (IsoWhey Sports Swisswellness).

Sebanyak 120 pelumba dari 20 pasukan akan beraksi di LTdL 2017 bermula Rabu nanti sehingga 1 Mac membabitkan lapan peringkat perlumbaan sejauh 1,222 kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2017 @ 9:54 AM