12 pasukan benua Asia sedia cabar Dimension Data
12 pasukan benua Asia sedia cabar Dimension Data
Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) edisi ke-22 akan menyaksikan pertarungan sengit 20 pasukan walaupun hanya menampilkan satu pasukan World Tour iaitu Team Dimension Data.

Pasukan juara bertahan itu hadir untuk terus cuba membawa pulang kejayaan namun dengan kehadiran pasukan profesional benua seperti Androni Giocattoli, Willier Triestina, UnitedHealthcare Professional Cycling Team, Bardiani CSF dan Nippo-Vini Fantini, saingan dijangka sengit.

Sebanyak 12 pasukan benua Asia turut bersaing seperti Terengganu Cycling Team (TSG), Team Sapura Cycling (TSC), KSPO Bianchi Asia Pro Cycling, Aisan Racing Team serta Vino-Astana Motors.

“Kami berdepan cabaran untuk menjemput pasukan apabila kalendar World Tour ditambah kepada 37 perlumbaan.

“Namun seluruh dunia sekali lagi akan memberikan tumpuan kepada Malaysia,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LTdL Emir Abdul Jalal.

Menurutnya, setiap benua mempunyai wakil pasukan pada perlumbaan yang dijadualkan dari 22 Februari hingga 1 Mac bermula di Terengganu.

“Saingan dijangka terus menarik dengan kehadiran empat pasukan Itali kerana pelumba Eropah itu sudah memenangi 75 peringkat perlumbaan sejak ia mula dipertandingkan pada 1996 disusuli Australia unggul sebanyak 26 kali di podium,” katanya.

Cabaran Malaysia digalas tiga pasukan iaitu TSG, TSC dan skuad kebangsaan pada saingan membabitkan lapan peringkat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2017 @ 6:04 AM