Prof Madya Dr Hanina Halimatusaadiah (duduk, kiri) dan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Media dan Komunikasi UKM Dr Mohd Azul Mohamad Salleh (duduk, kanan), Ketua Pegawai Eksekutif IYRES Dr Zainah Shariff (duduk, dua dari kanan) bersama sebahagian peserta program. FOTO ihsan IYRES.
Prof Madya Dr Hanina Halimatusaadiah (duduk, kiri) dan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Media dan Komunikasi UKM Dr Mohd Azul Mohamad Salleh (duduk, kanan), Ketua Pegawai Eksekutif IYRES Dr Zainah Shariff (duduk, dua dari kanan) bersama sebahagian peserta program. FOTO ihsan IYRES.
Nursyahirah Marzuki


MEMBERI kebebasan menggunakan skrin sesentuh kepada kanak-kanak sehingga menyebabkan ketagihan umpama memberi dadah kepada mereka.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Hanina Halimatusaadiah Hamsan berkata, penggunaan skrin sesentuh termasuk telefon pintar, tablet atau televisyen yang berlebihan atau berterusan boleh menyebabkan mereka mengalami gejala hampir sama seperti dialami individu ketagihan dadah.

“Terlalu obses atau ketagihan skrin ini sama seperti ketagihan dadah kerana terlalu bergantung kepada perkara itu dan ia seperti berasa gian jika berhenti menggunakan gajet.

“Contoh, anak kita yang bermain permainan video, kelakuan mereka akan lebih agresif, pernafasan laju, manakala kelenjar adrenalin dan dopamine meningkat, jadi kesannya sama seperti ketagihan kokain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Travelog Ilmu Siri 4/2017 'Risiko Ketagih Skrin' anjuran Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif IYRES Dr Zainah Shariff serta Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Mohd Azul Mohamad Salleh.

Hanina Halimatusaadiah berkata, ketagih skrin boleh menyebabkan kerosakan otak terutama dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun kerana mereka tidak memiliki keseimbangan yang sihat antara masa bermain telefon dan masa melakukan aktiviti lain.

“Kanak-kanak yang berada dalam lingkungan dua hingga lima tahun adalah masa untuk proses pertumbuhan mereka termasuk perkembangan psiko sosial.

“Dalam lingkungan umur ini, kanak-kanak perlu bersosial dan bukan melatih otak mereka dengan permainan video yang akan memberi tekanan kepada psikologi,” katanya.

Sementara itu, Mohd Azul berkata, ibu bapa perlu mengawal kekerapan anak menggunakan skrin gajet untuk mengelakkan kanak-kanak berkenaan ketagih.

“Ibu bapa juga perlu mengawal isi kandungan yang ditonton anak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2017 @ 3:39 PM