KONSEP baru tandas di KLIA.
KONSEP baru tandas di KLIA.
Mohd Husni Mohd Noor

Sepang: Inisiatif penarafan bintang bagi tandas awam akan diperluaskan kepada restoran di seluruh negara pada masa depan.

Itu hasrat dikongsi Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Mohammad Mentek yang mahu tahap kebersihan tandas bukan hanya boleh dilihat di lokasi tertentu, sebaliknya menyeluruh.

Mohammad berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, kemungkinan pengusaha restoran perlu memastikan kemudahan tandas masing-masing mencapai tahap kebersihan ditetapkan sebelum lesen perniagaan mereka dapat diperbaharui.

“Bagaimanapun, ia masih di peringkat cadangan. Parameter tahap kebersihan tandas di negara ini bukan hanya diaplikasikan di sesetengah lokasi sebaliknya boleh diperluaskan kepada restoran,” katanya pada sidang media selepas melancarkan konsep baru tandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Badlisham Ghazali.

Katanya, kementerian akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara sekiranya cadangan itu dilaksanakan kelak.

Mohammad berkata, kebersihan tandas sangat penting kerana ia akan menunjukkan wajah keseluruhan premis berkenaan, malah ia juga menggambarkan aspek penyediaaan makanan dijaga dengan rapi.

“Proses menaik taraf tandas awam ialah salah satu daripada inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di bawah kementeriannya. Malah, menerusi NBOS juga, kami diberi tanggungjawab untuk menaik taraf tandas di bawah seliaan PBT.

“Menerusi penilaian yang dijalankan sebelum ini, kami dapati lebih 50 peratus tandas di bawah seliaan PBT berada di bawah taraf tiga bintang,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, beliau mahu tahap kebersihan tandas di KLIA dijadikan penanda aras kepada lapangan terbang lain di seluruh negara.

Sementara itu, Badlisham berkata, pihaknya memperuntukkan RM30 juta bagi menaik taraf kemudahan di KLIA di mana kos terbesar membabitkan proses naik taraf sistem perpaipan.

“Lapangan terbang ini sudah mencecah usia lebih 20 tahun, justeru kerja naik taraf banyak berkisar pada sistem perpaipan,” katanya.

Katanya, konsep baru tandas di KLIA mula dilaksanakan sejak 2010 sebelum diperluaskan kepada semua bangunan dan terminal termasuk Bangunan Satelit dan Bangunan Terminal Utama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2017 @ 4:54 AM