GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhamad Lokman Khairi


Ipoh: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak menahan seorang peguam, hari ini dipercayai menerima sogokan bernilai RM1.6 juta daripada usahawan.

Sumber berkata, lelaki berusia 30-an itu ditahan di sebuah restoran di Jalan Kuala Kangsar di sini, kira-kira 11 pagi.

"Sogokan itu dipercayai diberikan kepada peguam atas sebab membantu menutup kes jenayah penipuan pelaburan membabitkan usahawan.

"Peguam terbabit ditahan sebaik menerima wang tunai RM100,000 dan dua cek bernilai RM1.5 juta daripada usahawan itu," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak Ahmad Sabri Mohamed ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.

Katanya, suspek akan dibawa ke mahkamah esok bagi mendapatkan permohonan reman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2024 @ 9:22 PM