Rawatan awal diberikan segera kepada mangsa sebelum mangsa diangkat dengan dua kaedah iaitu ‘piggy back carry’ hingga ke Rockface dan mengusung mangsa dengan menggunakan ‘robinson stretcher’ hingga ke Laban Rata. FOTO Ihsan Bomba
Rawatan awal diberikan segera kepada mangsa sebelum mangsa diangkat dengan dua kaedah iaitu ‘piggy back carry’ hingga ke Rockface dan mengusung mangsa dengan menggunakan ‘robinson stretcher’ hingga ke Laban Rata. FOTO Ihsan Bomba
Norasikin Daineh


SEORANG pendaki wanita yang cedera akibat tergelincir di puncak Kilometer 8, Gunung Kinabalu, berjaya diselamatkan pasukan bomba dan Pasukan Bomba Bantuan (MoSAR).

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi tadi, mangsa, Dorothy Junie John Nuing, 42, yang bekerja sebagai doktor, cedera di bahagian paha kiri.

Penyelia Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Hasbi Hajat berkata, pihak Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Ranau menerima panggilan kecemasan daripada petugasTaman-Taman Sabah (TTS) pada jam 8.10 pagi berhubung kejadian itu.

“Seramai tujuh anggota termasuk lima anggota MoSAR dikejar ke lokasi kejadian bersama sebuah satu jentera EMRS.

“Terdapat seorang pendaki warga tempatan tergelincir. Paha mangsa mempunyai sambungan besi akibat kecederaan lama,” katanya.

Mohd Hasbi berkata, pasukan MoSAR dengan bantuan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) TTS segera membantu mangsa yang dalam kesakitan.

“Rawatan awal diberikan segera kepada mangsa sebelum mangsa diangkat dengan dua kaedah iaitu ‘piggy back carry’ hingga ke Rockface dan mengusung mangsa dengan menggunakan ‘robinson stretcher’ hingga ke Laban Rata.

“Mangsa seterusnya dibawa ke Timpohon Gate sebelum diserahkan kepada pasukan EMRS untuk dibawa ke Hospital Ranau,” katanya.

Mohd Hasbi berkata, operasi ditamatkan pada jam 3.40 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Februari 2019 @ 8:53 PM