Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) ditemui maut, dipercayai dibunuh oleh individu yang memecah masuk rumah dua tingkat didiami bersama keluarga di Kampung Guar Perahu, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 6.30 pagi itu, mangsa berusia 40-an ditemui tidak bernyawa oleh bapanya yang berumur 80-an. Turut tinggal di rumah itu, ibunya yang berusia 70-an dan mengalami kecederaan akibat insiden.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, sepasukan polis ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat kejadian.

"Berdasarkan keterangan bapa mangsa (pengadu), dia yang tidur di bilik berasingan dengan isteri bangun dan mahu mengejut isterinya, namun mendapati tangan dan kaki isterinya diikat dengan kabel.

"Mulut isterinya disumbat dengan kain serta pita pelekat hitam malah dia juga luka di jari kanan.

"Kemudian, pengadu pergi ke bilik anak lelakinya (OKU bisu), mendapati didapati dalam keadaan sama seperti isterinya, namun mangsa tertiarap di lantai dalam keadaan sudah tidak sedarkan diri.

"Pengadu kemudian menghubungi pegawai perubatan Hospital Bukit Mertajam (HBM) yang mengesahkan anaknya telah meninggal dunia. Mayat dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

LELAKI OKU bisu maut, manakala ibunya cedera selepas rumah mereka di Kampung Guar Perahu, Bukit Mertajam dipecah masuk penyamun. FOTO Danial Saad.
LELAKI OKU bisu maut, manakala ibunya cedera selepas rumah mereka di Kampung Guar Perahu, Bukit Mertajam dipecah masuk penyamun. FOTO Danial Saad.

Menurutnya, warga emas itu mengesyaki rumahnya dipecah masuk oleh individu yang mahu menyamun berdasarkan keadaan rumah yang berselerak.

Helmi berkata, siasatan lanjut dilakukan dan pihaknya mendapati terdapat individu bersenjatakan parang yang tidak dikenali memasuki kediaman mangsa.

"Suspek bertindak mengikat mangsa (wanita warga emas) dan anak lelakinya, seterusnya menggeledah bilik mereka, mengambil wang tunai dan televisyen sebelum melarikan diri.

"Susulan kejadian, polis menahan lelakitempatan berusia 40-an bagi membantu siasatan dan semakan mendapati dia mempunyai lima rekod jenayah dan lima rekod dadah.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat ASP Assan Alimudin di talian 012-4418081 atau di mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2024 @ 9:47 PM