FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Majistret, di sini, hari ini, terhadap dua pertuduhan merogol dan mencabul anak perempuannya, kira-kira 10 tahun lalu.

Tertuduh, buruh kasar berusia 51 tahun, didakwa di dua mahkamah berbeza, pagi ini.

Terdahulu, tertuduh didakwa di hadapan Hakim Norma Ismail apabila atas dakwaan sumbang mahram ke atas anak perempuannya, pada kira-kira 12 tengah malam, pertengahan 2007.

Mengikut kertas pertuduhan, anak perempuan lelaki yang didakwa dilahirkan pada 1994.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara hingga 30 tahun dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Norshazwani Ishak tidak mencadangkan jaminan kerana kes membabitkan sumbang mahram namun menyerahkannya kepada budi bicara mahkamah dan mencadangkan jumlah jaminan tinggi sekiranya tertuduh dibenar jamin.

Tertuduh yang diwakili Peguam Bela Ishak Kari merayu anak guamnya dibenarkan dijamin dan memohon mahkamah menetapkan jaminan bersyarat.

Menerusi pertuduhan kedua pula dakwaan terhadap tertuduh dibacakan di hadapan Majistret Analia Kamaruddin.

Tertuduh didakwa mencabul anak perempuannya itu dengan menggunakan kekerasan jenayah di sebuah rumah, pada kira-kira 2 pagi, pertengahan 2015.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara hingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dan Peguam Bela yang sama serta mengguna pakai hujah yang sama.

Bagi tuduhan pertama, Hakim Norma membenarkan tertuduh dijamin RM30,000 manakala Majistret Analia membenarkan tertuduh dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagi kedua-dua pertuduhan, tertuduh dikenakan syarat melapor diri ke balai polis berdekatan setiap bulan dan dilarang mendekati mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2017 @ 2:56 PM