Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


LELAKI didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, hari ini, atas tiga pertuduhan melakukan sumbang mahram dengan anak tirinya pada Februari lalu.

Tertuduh yang berusia 44 tahun dan bekerja kampung mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan sumbang mahram dengan anak perempuan tirinya yang berusia 18 tahun yang mana perhubungan antara kedua-duanya tidak dibenarkan oleh hukum agama yang terpakai untuk membolehkan perkahwinan antara mereka.

Mengikut pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di tepi sebuah rumah beralamat di Kati, Kuala Kangsar jam 5.30 petang pada 2 Februari lalu.

Tertuduh kemudiannya kembali melakukan perbuatan itu pada 8 Februari jam 11.50 pagi dalam Proton Wira di alamat sama.

Seterusnya, tertuduh sekali lagi mengulangi kesalahan itu pada 16 Februari lalu di lokasi beralamat di Kampung Salak Stesyen, Sungai Siput (Utara) kira-kira jam 10 pagi.

TERTUDUH didakwa atas tiga pertuduhan melakukan sumbang mahram dengan anak tirinya. FOTO  Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
TERTUDUH didakwa atas tiga pertuduhan melakukan sumbang mahram dengan anak tirinya. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Bagi semua pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Nurul Asyifa menetapkan esok sebagai tarikh sebutan kes yang akan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen.

Timbalan Pendakwa Raya, Hasyutantee Khalil berkata, ia disebabkan kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Sesyen selain disebabkan Kompleks Mahkamah Kuala Kangsar yang mengamalkan penggiliran mengikut hari antara Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret bagi mendengar dan membicarakan kes.

"Hari ini giliran majistret bertugas, esok baru Hakim Mahkamah Sesyen ada (bertugas)," katanya.

Katanya, tertuduh berkemungkinan menghadapi pertuduhan tambahan esok.

"Bagaimanapun setakat ini arahan (pertuduhan tambahan) masih belum diperoleh," katanya.

Difahamkan, pengaduan berhubung kesalahan dilakukan tertuduh dibuat sendiri oleh anak perempuan tirinya itu pada 4 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 12:18 PM