BAPA mangsa (kanan) dan bapa saudara (kiri) mengaku salah melakukan cabul dan sumbang mahram di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, semalam.
BAPA mangsa (kanan) dan bapa saudara (kiri) mengaku salah melakukan cabul dan sumbang mahram di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, semalam.
Izlaily Nurul Ain Hussein


Kota Tinggi: Seorang bapa berusia 50 tahun hanya mampu menunduk dan menggelengkan kepala apabila Mahkamah Sesyen Kota Tinggi di sini, semalam menjatuhkan hukuman penjara 81 tahun dan lapan sebatan terhadapnya atas lima tuduhan melakukan persetubuhan luar tabii, sumbang mahram dan mencabul kehormatan anak perempuannya sejak enam tahun lalu.

Hakim Zahilah Mohammad Yusoff menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh yang bekerja sebagai kelindan lori mengaku bersalah terhadap kelima-lima pertuduhan sejurus ia dibacakan jurubahasa mahkamah.

Lelaki itu didakwa melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii ketika mangsa berusia 11 tahun di sebuah rumah di Taman Sri Saujana, di sini, kira-kira jam 4 petang pada Mei 2011.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Manakala bagi dua pertuduhan lain, tertuduh yang baru bercerai pada 17 Oktober lalu turut didakwa melakukan sumbang mahram terhadap mangsa.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 2 petang pada Mac 2012 di rumah sama, selain kira-kira jam 12 tengah malam pada November 2014 di sebuah rumah lain, di sini.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa dengan dua lagi pertuduhan iaitu menggunakan kekerasan jenayah kepada mangsa yang juga anak keduanya dengan maksud mencabul kehormatan remaja perempuan itu kira-kira jam 5 petang Oktober 2014 dan jam 12 tengah malam Februari 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat atau dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Sebelum hukuman dijatuhkan, peguam Salwa Sulaiman dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon hukuman ringan terhadap tertuduh dengan alasan dia seorang orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan baru bekerja dua minggu serta belum menerima gaji.

“Tertuduh tidak tinggal serumah dengan mangsa, dan dia mempunyai enam anak berusia antara lima hingga 18 tahun yang masih belajar,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad bagaimanapun memohon hukuman berat terhadap tertuduh dengan mengambil kira perbuatan sumbang mahram yang juga satu perkara serius.

“Ini membabitkan isu keselamatan mangsa yang juga anak kandung tertuduh dan mohon mahkamah mengambil kira kesan kejadian menyebabkan mangsa trauma selain memusnahkan masa depannya,” katanya.

Sementara itu, di mahkamah sama, bapa saudara mangsa berusia 36 tahun turut dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas mengaku bersalah mencabul kehormatan gadis berkenaan kira-kira jam 12 tengah malam pada Mei 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 5:26 AM