Nur Saliawati Salberi


PENGANGGUR dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas dua pertuduhan melakukan sumbang mahram ke atas anak perempuannya, sejak dua tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 38 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan sumbang mahram ke atas remaja perempuan berumur 16 tahun 11 bulan, kira-kira 12 tengah malam, pada hujung November 2015.

Manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan perbuatan sama ke atas remaja perempuan berkenaan yang ketika itu berusia 18 tahun 9 bulan, pada 12.30 malam, pada 14 November lalu.

Kesemua perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Ayer Keroh.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azri Zakaria, tidak menawarkan jaminan dengan alasan membabitkan kes sumbang mahram antara ayah dan anak.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam, memaklumkan kepada mahkamah bahawa mangsa iaitu anaknya akan menarik semula laporan polis dibuat.

Muhammad Azri, kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan tiada menerima sebarang laporan tarik balik dan difahamkan hal itu adalah gesaan tertuduh dan ibunya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Norma memaklumkan walaupun laporan tarik balik dibuat mangsa, mahkamah mempunyai kuasa untuk meneruskan pertuduhan selain menetapkan 21 Disember depan untuk sebutan semula dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 2:16 PM