Seorang bapa (tengah) dipenjara 81 tahun dan lapan sebatan dan bapa saudara mangsa (kiri) dipenjara lima tahun. FOTO Zain Ahmed
Seorang bapa (tengah) dipenjara 81 tahun dan lapan sebatan dan bapa saudara mangsa (kiri) dipenjara lima tahun. FOTO Zain Ahmed
Izlaily Nurul Ain Hussein


BAPA berusia 50 tahun hanya mampu tertunduk dan menggeleng-gelengkan kepalanya apabila Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 81 tahun dan lapan sebatan terhadapnya atas lima tuduhan melakukan persetubuhan luar tabii, sumbang mahram dan cabul kehormatan anak perempuannya, sejak enam tahun lalu.

Hakim Zahilah Mohammad Yusoff membuat keputusan itu selepas tertuduh yang bekerja sebagai kelindan lori itu mengaku bersalah bagi kelima-lima pertuduhan sejurus ia dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya.

Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii iaitu dengan memasukkan zakarnya ke dalam mulut anaknya yang ketika itu berusia 11 tahun di sebuah rumah di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi, Johor pada 4 petang, Mei 2011.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Manakala, bagi dua pertuduhan yang lain, tertuduh yang baru bercerai pada 17 Oktober lalu, didakwa melakukan persetubuhan dengan mangsa yang mana perhubungan itu tidak dibenarkan undang-undang atau hukum agama terpakai kepadanya untuk berkahwin dengan mangsa (sumbang mahram).

Bagi dua perbuatan yang dilakukan tertuduh pada 2 petang, Mac 2012 di rumah di Taman Sri Saujana, dan pada 12 tengah malam, November 2014 di sebuah rumah di FELDA Air Tawar 3, Kota Tinggi itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh didakwa dengan dua lagi pertuduhan iaitu menggunakan kekerasan jenayah kepada mangsa yang juga anak keduanya dengan maksud mencabul kehormatan remaja perempuan itu pada 5 petang, Oktober 2014 dan 12 tengah malam, Februari 2015 di FELDA Air Tawar 3, Kota Tinggi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat atau dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Sebelum hukuman dijatuhkan, peguam Salwa Sulaiman dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon hukuman ringan terhadap tertuduh dengan alasan dia seorang Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran dan baru bekerja selama dua minggu serta belum menerima sebarang gaji.

"Tertuduh sudah tidak tinggal serumah dengan mangsa dan dia mempunyai enam anak berusia antara lima dan 18 tahun yang juga ada masih belajar," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad bagaimanapun memohon hukuman berat terhadap tertuduh dengan mengambil kira perbuatan sumbang mahram yang juga satu perkara serius.

"Ini membabitkan isu keselamatan mangsa yang juga anak kandung tertuduh dan mohon mahkamah mengambil kira kesan kejadian ini menyebabkan mangsa trauma selain memusnahkan masa depannya," katanya.

Di mahkamah sama, bapa saudara mangsa turut dijatuhkan hukuman penjara lima tahun selepas mengaku bersalah mencabul kehormatan mangsa pada 12 tengah malam, Mei 2014 di FELDA Air Tawar 3, Kota Tinggi, Johor.

Pekerja kontrak itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat atau dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

#kw sumbang mahram, cabul, bapa kandung, anak kandung

#loc 1.7293750000000001, 103.899227

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 3:32 PM