MESSI ada baki kontrak 18 bulan bersama Barca.
MESSI ada baki kontrak 18 bulan bersama Barca.
AFP

Barcelona: Barcelona perlu mengelak daripada terpengaruh dengan permintaan peminat fanatik, bekas pemain dan media berhubung isu kontrak lanjutan penyerang Lionel Messi.

Jurulatih Luis Enrique berkata, ketika kontrak bintang Argentina berusia 29 tahun itu masih berbaki 18 bulan, tidak ada sebab untuk mereka berasa panik.

“Kami perlu terus bertenang,” kata Enrique sambil berkata kelabnya tidak perlu terburu-buru dan panik dengan keadaan berkenaan.

“Kami tidak akan terbabit dengan masalah itu,” kata jurulatih berkenaan walaupun terdapat spekulasi yang mendakwa penggempur terbabit mungkin dipikat kelab lain jika mereka tidak berusaha memanjangkan kontraknya sekarang.

“Perkara ini (kontrak Messi) akan hanya berlangsung dengan dikuasai sepenuhnya kelab dan Messi sendiri.”

“Saya tidak tahu mengenai angka. Apa yang saya tahu hanyalah bola sepak. Kita semua mahu melihat Messi di sini selama yang mungkin, selain daripada itu, saya tidak mahu tahu apa-apa.”

Walaupun mencatat kerugian 679 juta euro (RM3.224 bilion) musim lalu, kontrak baru dengan pemain seperti Neymar dan Luis Suarez yang menelan belanja lebih besar bermakna Barcelona semakin hampir dengan had 70 peratus berhubung soal gaji ditetapkan badan induk bola sepak Eropah UEFA.

Sementara itu, Enrique memuji pencapaian Suarez yang meledak 100 gol sepanjang 120 aksi bersama Barcelona dan angka itu dicatat ketika membantu pasukannya menang 3-1 ke atas Athletic Bilbao pada saingan Copa del Rey.

“Seratus gol dalam 120 perlawanan! Ia sesuatu yang hebat!”, kata Enrique.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2017 @ 5:07 AM