Nicosia: Lionel Messi dilabel selaku pemain terbaik sepanjang zaman oleh jurulatih Barcelona Luis Enrique selepas bintang Argentina itu melakar rekod jaringan Liga Juara-Juara dengan 74 gol, tiga daripadanya hadir ketika membantu pasukannya membelasah APOEL Nicosia 4-0 awal pagi semalam.

“Lionel Messi adalah pemain terbaik sepanjang zaman. Bola sepak adalah raja segala sukan dan dia akan terus mengejutkan banyak pihak selepas ini,” kata Luis Enrique selepas Messi mengatasi catatan Raul (71 gol) sebelum ini.

Beliau turut memuji rakan gandingan Messi, Luis Suarez yang membuka jaringan buat Barcelona di dalam Kumpulan F selepas berpindah dari Liverpool.

“Suarez akan menjaringkan lebih banyak gol dan dia sememangnya seorang pemain yang sering meledak jaringan buat pasukan,” kata Luis Enrique.

Barca bergelut untuk menewaskan pasukan bawahan, Almeria pada saingan La Liga awal bulan ini dan Luis Enrique ditanya bagaimana pasukannya mampu bangkit menang 5-1 ke atas Sevilla Sabtu lalu selain keputusan membanggakan di Nicosia.

“Perubahan prestasi kami sudah dijangka dan apa yang perlu kami lakukan selepas ini ialah untuk bersedia menghadapi perlawanan sukar menentang Valencia kerana mereka tidak banyak melepaskan gol musim ini,” katanya.

Jurulatih APOEL Giorgos Donis turut memuji Barcelona serta Messi dan memberitahu wartawan bahawa pasukan dan pemain itu berada di tahap lain.

“Dia beraksi dalam keadaan luar biasa dan mampu melakukan perkara hebat di dalam bola sepak,” kata Donis mengenai Messi.

Tetapi jurulatih kelahiran Jerman itu enggan membincangkan peluang pasukannya yang akan mengharungi perlawanan terakhir di Ajax Amsterdam nanti. APOEL menduduki tangga terbawah liga dengan satu mata.

“Sukar untuk menang di tempat lawan tetapi pemain kami akan berjuang hingga wisel penamat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 November 2014 @ 6:26 AM