AFP

Berlin: Bintang Brazil, Neymar berkongsi kedudukan sebagai penjaring terbanyak Liga Juara-Juara dengan menjaringkan gol terakhir Barcelona ketika menang 3-1 ke atas Juventus.

Neymar, yang menjaringkan 39 gol dalam semua pertandingan musim ini, menyertai Lionel Messi dan bintang ternama Real Madrid, Cristiano Ronaldo sebagai penjaring terbanyak bersama dengan 10 gol pada musim 2014-15.

Pemain berusia 23 tahun itu menamatkan musim keduanya di Barca dengan kemenangan pertamanya di Liga Juara-Juara apabila pasukan gergasi Catalunya itu menyamai pencapaian mereka pada 2009 dengan tiga gelaran iaitu Eropah, liga dan piala Sepanyol.

“Musim pertamanya tahun lalu amat bagus tapi tahun ini sungguh luar biasa dan dia semakin matang tahun ini,” kata jurulatih Barcelona, Luis Enrique.

“Angka itu mengesahkan dia antara pemain terbaik bola sepak dunia.”

Ia adalah gelaran Eropah kelima buat Barcelona dan Neymar melengkapkan kemenangan pada minit ke-97 apabila menyempurnakan hantaran terakhir Pedro Rodriguez.

Sebelum perlawanan itu Neymar menyifatkan final di Berlin itu sebagai paling penting dalam kariernya dan ketika kecil mengimpikan peluang menjaringkan gol pada final Liga Juara-Juara.

Jentera serangan Barcelona yang terdiri Messi, Luis Suarez dan Neymar mengumpul rekod jaringan 122 gol musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2015 @ 5:09 AM