PENGGUNA perlu menyemak kandungan alat kosmetik dan penjagaan diri.
PENGGUNA perlu menyemak kandungan alat kosmetik dan penjagaan diri.
SESETENGAH produk maskara antara yang menggunakan merkuri.
SESETENGAH produk maskara antara yang menggunakan merkuri.
DR Riza menunjukkan cara mengesan kandungan merkuri menggunakan kit ujian merkuri.
DR Riza menunjukkan cara mengesan kandungan merkuri menggunakan kit ujian merkuri.
DR Riza menunjukkan keputusan ujian terhadap sampel produk kosmetik.
DR Riza menunjukkan keputusan ujian terhadap sampel produk kosmetik.
WARNA ungu gelap menunjukkan kandungan merkuri tinggi manakala ungu muda menandakan kandungan merkuri yang rendah.
WARNA ungu gelap menunjukkan kandungan merkuri tinggi manakala ungu muda menandakan kandungan merkuri yang rendah.
BACA label untuk mengetahui kandungan produk.
BACA label untuk mengetahui kandungan produk.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Keinginan untuk tampil cantik menjadikan ramai wanita obses dengan produk kecantikan atau alat kosmetik yang menjanjikan kesan segera terutama untuk menghilangkan cela dan mencerahkan kulit.

Mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pengguna bagi produk seumpama ini, tidak hairanlah semakin banyak pengusaha produk kecantikan berlumba-lumba menawarkan produk mencerahkan kulit untuk memenuhi kehendak pasaran yang tentunya menjanjikan pulangan lumayan.

“Ada pesakit yang datang dengan keadaan kulit wajah yang sudah rosak, terbakar atau mengalami masalah pigmentasi yang teruk. Pada keadaan ini, tidak banyak yang dapat dilakukan untuk mengembalikan kulit ke keadaan asal selain kos rawatan yang amat tinggi,” - Dr Riza Hartini Razali

Pengusaha yang bertanggungjawab akan memastikan produk ditawarkan tidak mengandungi bahan terlarang dan selamat digunakan.

Namun, tidak kurang juga pengusaha yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata tanpa mengira kesan sampingan dan kesan jangka panjang terhadap kulit pengguna dengan menjual produk yang mengandungi bahan kimia beracun serta berbahaya seperti merkuri atau raksa dan hidroquinon.

Selain itu, lambakan produk kosmetik palsu dan yang diimport dari luar negara tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia turut memburukkan keadaan apabila ramai wanita yang sanggup memperjudikan nyawa dengan membeli produk seumpama itu.

Ia begitu mudah didapati termasuk di pasar malam, kios di pasar raya atau bazar dan lebih membimbangkan apabila pembelian turut boleh dilakukan begitu mudah secara dalam talian.

Tidak kurang juga ramai terpedaya dengan testimoni pengguna bagi sesetengah produk yang dimuatkan di laman sosial hingga menarik mereka untuk membeli produk terbabit, tanpa memeriksa kesahihan pengakuan berkenaan.

Untuk jangka pendek, sesetengah produk yang mengandungi bahan kimia beracun tidak menunjukkan kesan negatifnya ke atas kulit pengguna. Kesan buruk ini biasanya dapat dilihat selepas penggunaan berpanjangan.

Banyak kes dilaporkan di media mengenai kesan negatif bahan kimia berbahaya ini yang menyebabkan kulit gatal, merah, melepuh dan sebagainya. Apa yang dikhuatiri ialah sekiranya produk berkenaan boleh menyebabkan pengguna berisiko mendapat kanser kulit atau mungkin membawa maut.

Jejas kesihatan dan emosi

Kebimbangan itu turut disuarakan Pakar Estetik, Dr Riza Hartini Razali terhadap penggunaan kosmetik mengandungi bahan berbahaya yang terus berleluasa namun, kesedaran pengguna menjadi fokus utama.

Katanya, semakin ramai pesakitnya yang mengalami kesan buruk akibat penggunaan produk seumpama itu kerana tidak sedar produk digunakan mengalami bahan kimia beracun.

“Ada pesakit yang datang dengan keadaan kulit wajah yang sudah rosak, terbakar atau mengalami masalah pigmentasi yang teruk. Pada keadaan ini, tidak banyak yang dapat dilakukan untuk mengembalikan kulit ke keadaan asal selain kos rawatan yang amat tinggi,” katanya.

Katanya, merkuri berbahaya untuk kesihatan kerana ia boleh menyebabkan risiko kerosakan buah pinggang, saraf dan menyebabkan penyakit seperti migrain, jika kandungannya terlalu tinggi dalam satu-satu produk.

“Keracunan merkuri juga boleh berlaku disebabkan pendedahan kepada merkuri dan pengumpulannya dalam tubuh pada jangka masa lama. Kesan jangka panjang penggunaan produk seperti ini menyebabkan kerosakan saraf, terutama pada tangan. Pesakit akan rasa gatal dan terbakar pada kulit tangan.

“Selain itu, pesakit berasa lemah, mempunyai emosi tidak stabil dan masalah ingatan yang kurang baik,” katanya.

Dr Riza yang juga Pengasas Butik Kecantikan Ariana Ming berkata, kebanyakan merkuri digunakan dalam tiga produk utama iaitu maskara, sabun antiseptik khas untuk muka dan krim pencerahan.

“Produk yang mengandungi merkuri biasanya mengambil masa yang cepat untuk menunjukkan keberkesanannya. Ciri inilah yang biasanya menjadi ‘daya penarik’ kepada pengguna khususnya mereka yang ghairah untuk memiliki kulit cerah dan mulus. Jadi pengguna kena lebih berhati-hati dengan produk kecantikan yang digunakan.

“Berhati-hati juga dengan produk yang menawarkan pelbagai janji hebat atau mendakwa boleh menyelesaikan banyak masalah kulit.

“Justeru, orang ramai perlu bijak memilih produk dengan meneliti kandungan bahan sebelum membeli dan mencubanya. Ini kerana kos merawat keracunan merkuri jauh lebih mahal berbanding perbelanjaan yang dikeluarkan untuk membeli krim bebas merkuri,” katanya.

Menurutnya, merkuri pada produk pencerah kulit juga boleh menyebabkan ruam, keradangan, perubahan warna kulit dan pengurangan kekebalan kulit terhadap jangkitan.

Selain itu katanya, ia amat berbahaya bagi ibu hamil kerana merkuri dalam sabun, krim dan produk kosmetik ini boleh membantutkan perkembangan dan merosakkan saraf pada janin atau bayi mereka.

Dr Riza berkata, di pusat itu ujian merkuri boleh dilakukan menggunakan kit pengesan merkuri dalam produk kosmetik dan penjagaan diri. Kini semakin ramai pelanggan datang membawa sampel produk yang mereka gunakan.

“Dengan kit pengesan merkuri ini diharapkan lebih ramai yang menyemak terlebih dulu sama ada produk yang mereka gunakan bebas merkuri atau sebaliknya agar pencegahan awal dapat dilakukan. Jika rasa was-was dengan produk yang digunakan, berhentikan dulu penggunaannya sehinggalah statusnya diketahui.

“Berdasarkan pengalaman, memang ada pelanggan yang terkejut apabila mengetahui keputusan ujian ke atas produk yang digunakannya. Dia tidak sangka kandungan merkuri dalam produk yang sedang digunakannya amat tinggi.

“Memang masih ramai yang tidak sedar bahawa produk kecantikan mengandungi bahan kimia berbahaya masih dijual. Jadi anda perlu bertindak bijak apabila memilih produk kecantikan supaya wang yang dikeluarkan benar-benar berbaloi,” katanya.

Sehubungan itu katanya, orang ramai seharusnya peka dengan sebarang produk yang dipakai dan tidak sewenang-wenangnya membeli produk tanpa mengambil kira kandungan yang digunakan atau hanya mementingkan kesan pantas selepas menggunakan produk berkenaan.

Bijak pilih produk kosmetik selamat, berkualiti

Sebagai pengguna, kita harus bijak dan berhati-hati semasa memilih produk kosmetik dan mengetahui sedikit sebanyak mengenai bahan kimia yang lazimnya digunakan di dalam formulasi produk kosmetik kerana bahan itu akan diserap melalui kulit.

Oleh itu, sebelum membeli sesuatu produk kosmetik, pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati dan bijak memilih produk kosmetik yang sesuai untuk kegunaan sendiri bagi memastikan produk kosmetik yang dibeli adalah berkualiti dan selamat untuk digunakan.

Berikut beberapa langkah yang boleh diambil untuk memastikan produk yang dibeli selamat dan tidak berbahaya.

• Baca label produk dan ambil perhatian terhadap label amaran terhadap sesetengah bahan yang digunakan di dalam formulasi produk kosmetik bagi memastikan ia selamat untuk digunakan.

• Secara umumnya, krim pencerah wajah yang ada kandungan merkuri berbau agak keras. Kadangkala ada pengeluar menggunakan haruman yang agak kuat bagi menutupi bau logam merkuri. Jadi, hati-hati jika krim yang digunakan berbau logam atau terlalu wangi.

• Untuk mengesan merkuri pada produk, lakukan tip ini. Sapukan krim pada tangan dan gosokkan barang kemas diperbuat dari emas pada krim. Jika produk atau krim itu mengandungi merkuri, krim itu akan bertukar menjadi warna kelabu. Semakin gelap warna kelabu bermakna semakin tinggi kandungan merkuri di dalamnya.

• Kurangkan atau hindari diri menggunakan produk kosmetik semasa hamil mahupun menyusu anak. Ambil makanan seimbang yang kaya dengan kalsium dan zat besi bagi mengurangkan risiko toksik dedahan.

• Rujuk laman web Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan produk atau bahan dalam formulasi produk kosmetik dan had serta syarat yang dibenarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 1:31 PM