WARNA strip ujian lebih gelap menunjukkan kehadiran merkuri yang lebih banyak.
WARNA strip ujian lebih gelap menunjukkan kehadiran merkuri yang lebih banyak.
Yusliza Yakimir Abd Talib


JIKA anda pencinta maskara, sabun antiseptik khas untuk muka dan krim pencerah, berhati-hati apabila membelinya kerana ini adalah produk yang lazimnya mengandungi merkuri.

Obses untuk tampil cantik dan berkulit cerah menjadikan ramai wanita sanggup meletakkan nyawa sendiri di dalam risiko dengan mengambil pelbagai produk kosmetik yang diragui keselamatannya.

Bagi mereka, asalkan produk itu memberi kesan yang pantas, ia menjadi pilihan hingga ada antaranya sanggup menghabiskan wang gaji untuk mencapai impian.

Lebih membimbangkan, produk kosmetik yang mengandungi racun berjadual seperti merkuri, hidrokuinon dan tretinoin ini memberikan kesan sampingan kepada kesihatan termasuk berisiko diserang penyakit kronik, antaranya masalah buah pinggang.

Banyak kes dilaporkan di media mengenai kesan negatif bahan kimia berbahaya ini yang menyebabkan kulit gatal, merah, melepuh dan sebagainya. Apa yang dikhuatiri ialah sekiranya produk berkenaan boleh menyebabkan pengguna berisiko mendapat kanser kulit atau mungkin membawa maut.

Kebimbangan itu turut disuarakan Pakar Estetika, Dr Riza Hartini Razali terhadap penggunaan kosmetik mengandungi bahan berbahaya yang terus berleluasa, namun kesedaran pengguna menjadi fokus utama.

Katanya, semakin ramai pesakitnya yang mengalami kesan buruk seumpama itu kerana tidak sedar menggunakan produk mengandungi bahan kimia beracun.

“Ada pesakit yang datang dengan keadaan kulit wajah yang sudah rosak, terbakar atau ada pigmentasi teruk. Pada keadaan ini, tidak banyak yang dapat dilakukan untuk mengembalikan kulit ke keadaan asal dan kos rawatan juga amat tinggi.

“Merkuri berbahaya untuk kesihatan kerana ia boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, saraf dan penyakit seperti migrain, jika kandungannya terlalu tinggi dalam satu-satu produk.

“Keracunan merkuri juga boleh berlaku disebabkan pendedahan kepada merkuri dan pengumpulannya dalam tubuh pada jangka lama. Kesan jangka panjang penggunaan produk seperti ini boleh menyebabkan kerosakan saraf, terutama pada tangan. Pesakit akan rasa gatal dan kulit terbakar. Pesakit juga berasa lemah, emosi tidak stabil dan ada masalah ingatan,” katanya.

Dr Riza berkata, produk yang mengandungi merkuri biasanya mengambil masa yang pendek dan bertindak pantas untuk menunjukkan keberkesanannya.

MERKURI turut terkandung dalam sesetengah produk solekan.
MERKURI turut terkandung dalam sesetengah produk solekan.

JANGAN TERPANCING JANJI HEBAT

Ciri ini yang biasanya menjadi ‘daya penarik’ untuk memancing pengguna khususnya mereka yang ghairah memiliki kulit cerah dan mulus. Pengguna perlu lebih berhati-hati dengan produk kecantikan yang digunakan.

“Berhati-hati juga dengan produk yang menawarkan pelbagai janji hebat atau mendakwa boleh menyelesaikan banyak masalah kulit.

“Orang ramai perlu bijak memilih produk dengan meneliti kandungan bahan sebelum membeli dan mencubanya. Ini kerana kos merawat keracunan merkuri jauh lebih mahal berbanding perbelanjaan yang dikeluarkan untuk membeli krim bebas merkuri,” katanya.

Menurutnya, merkuri pada produk pencerah kulit juga boleh menyebabkan ruam, keradangan, perubahan warna kulit dan pengurangan kekebalan kulit terhadap jangkitan.

Selain itu, katanya, ia amat berbahaya bagi ibu hamil kerana merkuri dalam sabun, krim dan produk kosmetik ini boleh membantutkan perkembangan dan merosakkan saraf pada janin dalam kandungan.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai seharusnya peka dengan sebarang produk yang dipakai dan tidak sewenang-wenangnya membeli tanpa mengambil kira bahan terkandung atau hanya mementingkan kesan pantas selepas menggunakan produk berkenaan.

Sebagai pengguna, kita perlu bijak dan berhati-hati semasa memilih produk kosmetik dan mengetahui sedikit sebanyak mengenai bahan kimia yang lazimnya digunakan di dalam formulasi produk kosmetik kerana bahan itu akan diserap melalui kulit.

Oleh itu, sebelum membeli sesuatu produk kosmetik, pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati dan bijak memilih produk kosmetik yang sesuai untuk kegunaan sendiri bagi memastikan produk yang dibeli adalah berkualiti dan selamat digunakan.

DR Riza menunjukkan cara  penggunaan kit pengesan merkuri.
DR Riza menunjukkan cara penggunaan kit pengesan merkuri.

PILIH PRODUK SELAMAT

Berikut beberapa langkah yang boleh diambil untuk memastikan produk yang dibeli selamat dan tidak berbahaya.

Baca label produk dan ambil perhatian terhadap label amaran terhadap sesetengah bahan yang digunakan di dalam formulasi produk kosmetik bagi memastikan ia selamat untuk digunakan.

Secara umumnya, krim pencerah wajah mengandungi merkuri berbau agak keras. Ada pengeluar menggunakan haruman yang agak kuat bagi menutupi bau merkuri. Jadi, hati-hati jika krim yang digunakan berbau logam atau terlalu wangi.

Untuk mengesan merkuri pada produk, lakukan tip ini. Sapukan krim pada tangan dan gosokkan barang kemas diperbuat daripada emas pada krim. Jika produk atau krim itu mengandungi merkuri, krim akan bertukar menjadi kelabu. Semakin gelap warna kelabu, semakin tinggi kandungan merkuri di dalamnya.

Kurangkan atau elak menggunakan produk kosmetik semasa hamil mahupun menyusukan anak. Ambil makanan seimbang yang kaya kalsium dan zat besi bagi mengurangkan risiko toksik dedahan.

Rujuk laman web Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan produk atau bahan dalam formulasi produk kosmetik dan had serta syarat yang dibenarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 5:30 AM