(KIRI) Hakimi antara mangsa produk mengandungi merkuri. (KANAN) HAKIMI kembali pulih selpas meninggalkan produk beracun.
(KIRI) Hakimi antara mangsa produk mengandungi merkuri. (KANAN) HAKIMI kembali pulih selpas meninggalkan produk beracun.
Redzuan Muharam


Kuala Selangor: Keinginan mencuba mendorong pegawai jualan dan pemasaran, Mohamad Hakimi Mohamad Rejab menggunakan produk kosmetik mengandungi merkuri seawal umur 17 tahun.

Mohamad Hakimi, 25, yang menetap di Puncak Alam, di sini berkata, kurang pengetahuan dan terpengaruh sekeliling juga antara faktor dirinya menjadi mangsa produk kecantikan mengandungi merkuri.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, kulit wajah asalnya tidak bermasalah namun sedikit gelap kerana aktif bermain bola sepak.

"Waktu itu, saya nak jaga kulit tapi tak tahu nak pakai apa jadi apabila nampak kulit wajah salah seorang ahli keluarga licin selepas guna satu produk, saya pun jadi teringin nak pakai (produk) yang sama.

"Seawal dua hari, saya nak nampak kesannya malah selepas pakai hari pertama, bangun esoknya nampak pori mula mengecil.

"Lebih membuatkan saya gembira adalah apabila ramai nampak perubahan wajah saya yang semakin cerah dan puji selain tanya apa produk digunakan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Selepas setahun enam bulan, Mohamad Hakimi mula sedar bahaya dan nampak kesan buruk daripada penggunaan produk kosmetik berkenaan.

Dia kemudian memakai produk lain namun keadaan jadi bertambah teruk selepas berhenti menggunakannya.

"Muka saya bukan sahaja naik jerawat malah bernanah selepas berhenti gunakan satu produk keluaran tempatan itu.

"Akibatnya, orang terdekat jijik nak dekat dengan saya walaupun dulu suka berkawan sampai ada yang ingat saya kena buatan orang.

"Pensyarah pun takut nak borak dan dekat dengan saya kerana muka jadi bengkak serta lebar. Paling membuatkan saya terkesan apabila hilang peluang jadi pengacara majlis dalam satu program dan digantikan dengan orang lain disebabkan muka hancur hingga tak ada ruang pada wajah yang nampak cerah," katanya.

Menurut Mohamad Hakimi, dia tiada pilihan melainkan mengeluarkan wang simpanan RM5,000 untuk merawat wajahnya.


Jaminan palsu kulit cerah seawal tujuh hari

Kuala Lumpur: Harga mampu milik serendah RM35 untuk satu set produk kosmetik dan jaminan cerah dan licin seawal tujuh hari penggunaan.

Itu tarikan lambakan set produk kosmetik 'beracun' hasil tinjauan Harian Metro di beberapa premis menjual jamu sekitar ibu kota, baru-baru ini.

Hakikatnya, hasil penelitian dan semakan dilakukan mendapati notifikasi produk kosmetik itu sudah dibatalkan Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan (KKM) pada 2021 dan tidak dibenarkan dijual dalam negara.

Ini kerana produk itu dikesan mengandungi racun berjadual tretinoin, malah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bahkan KKM pernah menggesa orang awam mengelak menggunakan produk kosmetik itu.

Persoalannya, bagaimana produk itu masih berada di pasaran tempatan dan dijual secara terang-terangan tanpa berselindung.

Lebih mengejutkan, peniaga dikenali Sari yang ditemui turut mengesyorkan produk kosmetik itu ketika ditanya set mana yang paling berkesan dan jadi pilihan pelanggan.

"Ada macam-macam produk dik (adik), cuma yang ada dekat sini banyak dari Filipina.

"Ini bagus dik, cuba la..harga RM35 dapat empat barang, sabun pencuci muka, penyegar juga krim siang dan malam.

"Dalam tujuh hari, adik boleh nampak kesan kulit jadi licin, ramai sudah guna," katanya.

Ditanya sama ada produk dijual mengandungi merkuri atau tidak, Sari tidak pasti mengenainya.

"Tak tahu dik, tapi ramai beli, katanya bagus," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Sementara itu, seorang lagi peniaga jamu dikenali Azri turut menjual produk kosmetik tempatan dan beberapa jenama terkenal diimport dari negara jiran.

Ketika ditanya adakah dia sedar jika ada antara produk dijual mengandungi merkuri, Azri dengan selamba mendedahkan tahu mengenainya dan menganggap bahan itu penting dalam mencantikkan wajah.

"Sikit atau banyak, mesti ada merkuri. Kalau tak ada (merkuri), tak glow (licin) lah kulit.

"Ada banyak (produk) sebenarnya namun tiga ini (yang ditunjukkan kepada wartawan) yang paling banyak orang beli cuma harganya antara RM160 hingga RM180 satu set," katanya.


'Merkuri mampu rosakkan otak, saraf, organ'

Kuala Lumpur: Penggunaan kosmetik mengandungi merkuri bukan sahaja merosakkan kulit wajah, malah turut menyebabkan kerosakan otak, sistem saraf dan buah pinggang.

Pensyarah dan penyelidik dari Kluster Kesihatan Persekitaran di Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nurul Yuziana Mohd Yusof berkata, kesan produk merkuri terhadap tubuh manusia bergantung kepada jumlah dos dan tempoh pendedahan.

Menurutnya, lazimnya pengguna mengalami kesan awal disebabkan pendedahan bahan merkuri pada dos atau kuantiti yang tinggi.

"Antara aduan utama pengguna yang terkesan dengan bahan merkuri dalam produk kosmetik adalah masalah pendengaran. Bagaimanapun, ada juga beberapa tanda dan simptom keracunan merkuri yang disenaraikan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA).

"Antaranya adalah mudah marah, menggigil, masalah penglihatan atau pendengaran, masalah ingatan, kemurungan, kebas, dan kesemutan di tangan, kaki atau di sekeliling mulut," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ditanya mengapa merkuri sinonim dan sering menjadi bahan pilihan dalam produk kosmetik, Dr Nurul Yuziana berkata antara sebabnya kerana ia mudah diperoleh.

"Merkuri terutama dalam bentuk garam bukan organik seperti mercurous chloride atau calomel, mercuric chloride dan mercuric oxide boleh diserap kulit serta berfungsi menghalang penghasilan melanin iaitu pigmen berwarna gelap pada kulit dan rambut.

"Justeru, ia menjadikan merkuri popular sebagai agen pencerah kulit atau anti-pigmentasi yang berkos rendah.

"Di dalam bidang perniagaan, faktor bahan mentah yang murah menjadi keutamaan kerana dapat beri keuntungan tinggi. Disebabkan itu, merkuri lebih popular walaupun banyak lagi bahan agen pencerah kulit lain seperti arbutin, asid kojik, niacinamide dan asid askorbik yang boleh digunakan.

"Meskipun begitu, penggunaan merkuri dalam produk kosmetik tidak dibenarkan dan dikawal selia di bawah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan Kementerian Kesihatan (KKM) berdasarkan garis panduan kosmetik (Annex I - VII )," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 12:01 PM