DR Aizul Harizi melakukan rawatan penjagaan kulit di Plaza Wangsa Maju. FOTO: Amirudin Sahib
DR Aizul Harizi melakukan rawatan penjagaan kulit di Plaza Wangsa Maju. FOTO: Amirudin Sahib
Siti Zarinah Sahib


JIKA ada yang mengatakan jerawat berpunca daripada perubahan hormon, mungkin kenyataan itu ada benarnya jika ia berlaku 10 atau 20 tahun lalu. Tetapi berbeza pada masa sekarang kerana rata-rata wanita yang menghadapi masalah jerawat disebabkan kesalahan memilih produk mengandungi bahan kimia yang tinggi.

Menjelaskan lebih lanjut, menurut pakar estetika SIS Aesthetic, Dr Aizul Hafizi Ismail, lambakan produk kecantikan terutama pencerah kulit sentiasa mendapat sambutan menggalakkan daripada wanita.

Ia berikutan kegilaan mereka untuk memiliki kulit cerah sama seperti selebriti Korea sehingga sanggup menggunakan apa sahaja produk bagi mendapatkan hasil dengan cepat tanpa menyedari produk itu mengandungi merkuri yang tinggi.

PEMERIKSAAN perlu dilakukan sebelum rawatan diberikan kepada pesakit.
PEMERIKSAAN perlu dilakukan sebelum rawatan diberikan kepada pesakit.

Menurut Dr Aizul, di dalam industri kosmetik dan kecantikan, merkuri adalah salah satu bahan yang sangat popular terutama dalam produk pencerah kulit. Ini kerana kemampuannya menghalang pembentukan melanin sehingga kulit tampak lebih cerah dalam waktu yang singkat.

“Namun di sebalik hal ini, merkuri sangat berbahaya tidak hanya pada lapisan kulit luar kerana bahan kimia itu dengan mudah akan diserap ke dalam kulit menerusi salur darah dan akhirnya berada di dalam aliran darah.

“Lebih membimbangkan, ia bukan hanya mendatangkan mudarat kepada kulit wajah juga membabitkan kanser darah atau kulit,” katanya.

Walaupun ramai mengakui penggunaannya memberikan kesan pencerahan yang cepat tetapi lama-kelamaan kulit mulai rosak, menjadi biru kehitaman, berjerawat, kusam dan mula ditumbuhi jeragat.

Malah merawat kulit sebegini lebih sukar kerana memerlukan kos yang tinggi selain mengambil masa untuk dipulihkan. Dalam bidang kosmetik, merkuri dan hidrokuinon boleh digunakan tetapi kandungan yang dibenarkan hanya sekitar dua hingga empat peratus sahaja. Malangnya, sesetengah produk menggunakan sehingga 200 peratus semata-mata ingin memberikan kesan pencerahan dengan cepat.

Ditambah pula persaingan sesama produk kecantikan lain menyebabkan pengusaha ini seakan-akan berlumba-lumba mahu menampilkan produk siapa lebih cepat menunjukkan kesannya.

Sebab itu dalam tempoh tiga hari, produk akan bertindak balas dengan kulit dan memberikan pencerahan seperti yang diidamkan. Ada juga pengguna yang mengalami perubahan mendadak dalam masa tiga hari apabila kulit berwarna merah jambu dan licin.

“Sudah tentu ia memberikan khabar gembira kepada si pemakai untuk terus menggunakannya. Tanpa sedar bertahun-tahun bahan kimia ini merosakkan kulit dari dalam,” ulasnya.

Paling menyedihkan apabila ada wanita mengetahui produk digunakan mempunyai bahan kimia berbahaya namun masih menggunakannya disebabkan kesan cerah serta-merta serta tidak sanggup melihat kulit wajah kembali kepada warna asal.

Selain mendatangkan bahaya kepada organ dalaman, kulit juga semakin menipis sehingga menampakkan garis urat atau salur darah. Namun inilah yang menjadi idaman kebanyakan wanita.

“Kesan daripada penipisan kulit ini menyebabkan mereka tidak boleh berada dalam cuaca panas. Jika tidak kulit mereka akan menjadi kemerah-merahan, panas dan gatal. Apabila berhenti memakainya pula, akan tumbuh jerawat besar dan jeragat yang teruk,” katanya.

Bagi mereka yang ingin memulihkan masalah jerawat akibat penggunaan produk yang kurang baik ini, ia memerlukan proses yang berulang-ulang. Tidak cukup dengan sekali rawatan sahaja.

“Biasanya saya mencadangkan mereka mencuba rawatan untuk jerawat menggunakan sejenis larutan asid yang selamat untuk kulit. Fungsi bahan ini adalah membuang sel kulit mati, membuka liang pori dan meremajakan kembali kulit.

“Rawatan ini dijalankan di klinik selama 45 minit. Untuk mereka yang bermasalah jerawat perlu melakukan 10 kali rawatan,” katanya.

Sudah tentu ia sangat merugikan berbanding sekiranya wanita peka dengan produk yang mereka gunakan. Pilih produk berkualiti yang sudah berada lama di pasaran. Selain itu, elak menggunakan krim yang menjanjikan kesan dengan cepat.

“Sekurang-kurangnya enam bulan masa yang perlu diambil untuk kulit memberikan tindak balas terhadap apa juga produk digunakan. Apatah lagi apabila ia membabitkan kesan pencerahan,” nasihatnya.

OKSIGEN diberikan supaya wajah kembali segar.
OKSIGEN diberikan supaya wajah kembali segar.

SEJENIS cecair disapu pada kulit dan dibiarkan seketika.
SEJENIS cecair disapu pada kulit dan dibiarkan seketika.

TOPENG wajah diletakkan pada wajah bagi mengurangkan masalah jerawat.
TOPENG wajah diletakkan pada wajah bagi mengurangkan masalah jerawat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 4:30 AM