Ezaura bersama suaminya. FOTO ihsan Ezaura
Ezaura bersama suaminya. FOTO ihsan Ezaura
Nabihah Kamal  


Kuala Lumpur: Akibat pelamin tak dapat disediakan perunding perkahwinan, Ezaura Mohd Rafe, 27, selamba memakai jubah RM150 dan tudung RM10 ketika majlis perkahwinannya di Pendang, Kedah, 31 Disember lalu.

Busana 'simple' Ezaura itu akhirnya menjadi tular di laman sosial.

Menurut Ezaura, dia dan suaminya, Fadzli Mohd Fuzi, 28, terpaksa menukar rancangan apabila bersanding tanpa pelamin.

“Kami berdepan masalah apabila perunding perkahwinan tidak dapat menyediakan pelamin, jadi saya rasa tidak perlu pakai pakaian pengantin jika pelamin tidak ada.

“Suami saya yang pilihkan warna dan carikan baju di Alor Setar, Kedah dan Seberang Prai, Pulau Pinang,” katanya yang bekerja sambilan sebagai model.

Menurutnya, ada tetamu yang terkejut melihat busana pengantin dia dan suami.

“Ada yang tanya mengapa berpakaian begini, namun selepas diterangkan mereka faham,”katanya.  

Ezaura berkata, ada hikmah disebalik apa yang terjadi.  

“Jika pelamin ada, baju ada, saya terpaksa bayar lebih kerana baju saja bernilai RM750. Oleh kerana tempahan dibatalkan, saya mempunyai wang lebih.

“Wang lebih itu saya dan suami gunakan untuk bulan madu di Pulau Langkawi,” katanya. 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2017 @ 11:04 PM