PENGANTIN baharu, Nurjamin dan pasangannya Nur Sazrin (kiri sekali) bersanding bersama ibu bapa serta adik-beradik dan pasangan mereka.
PENGANTIN baharu, Nurjamin dan pasangannya Nur Sazrin (kiri sekali) bersanding bersama ibu bapa serta adik-beradik dan pasangan mereka.
Omar Ahmad


Kota Tinggi: Empat belas sekeluarga terdiri daripada tujuh pasangan termasuk pengantin baharu dan ibu dan bapa pengantin bersanding atas pelamin pada majlis meraikan tetamu di Kampung Sungai Tuan Seh, Sedili, dekat sini, kelmarin.

Menantu sulung keluarga itu, Norkalsom Alias, 33 berkata, ia bagi meraikan perkahwinan adik bongsu mereka, Nurjamin Jamil dan pasangannya Nur Sazrin Jamal masing-masing 22 tahun pada majlis meraikan tetamu sebelah pihak lelaki.

Katanya, kesemua enam adik-beradik suaminya, Nurazmil Jamil, 35 sepakat mengenakan busana pengantin pada majlis meraikan tetamu pada sebelah malam kelmarin, sebelum majlis menyambut menantu berlangsung di lokasi sama, semalam.

"Seronok sebab adik-beradik semua sepakat, malah mak dan ayah mentua saya, Jamil Saimon, 59 dan Aminah Jom, 57, yang mempunyai 10 cucu juga turut mengenakan busana pengantin material songket berwarna oren.

"Kami sekeluarga didahului dengan mak dan ayah mentua juga berarak menuju ke atas pelamin dengan diiringi paluan kompang.

"Sebaik adik bongsu menyatakan hasrat mahu berumah tangga enam bulan lalu, kami adik-beradik termasuk pasangan masing-masing sudah sepakat mahu 'bersanding' sekali lagi.

"Alhamdulillah mak dan ayah mentua juga setuju untuk bersama-sama menyarungkan busana pengantin semula selepas 36 tahun perkahwinan mereka," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Norkalsom, selain dia dan suami, lima adik ipar dan biras termasuk adik bongsu juga menyarungkan busana pengantin.

Katanya, pada permulaan, agak kekok kerana ramai tetamu yang hadir bertanyakan yang mana satu tuan rumah.

"Alhamdulillah.... majlis berjalan lancar, Majlis sambut menantu yang berlangsung semalam juga sudah selesai. Pada majlis itu, kami memakai baju kurung dan baju Melayu bagi melayan tetamu jemputan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2023 @ 9:37 AM