NUR Shahira Mohamad Eruan di samping suaminya selepas disunting seorang netizen. FOTO Ihsan pembaca.
NUR Shahira Mohamad Eruan di samping suaminya selepas disunting seorang netizen. FOTO Ihsan pembaca.
Mahaizura Abd Malik


Petaling Jaya: Sungguh menyentuh hati apabila Nur Shahira Mohamad Eruan membuat permintaan kepada netizen Malaysia menyunting gambar dirinya bersama arwah suami dalam busana pengantin serta berlatar belakangkan pelamin putih.

Nur Shahira, 26, berkata, kerinduan terhadap suaminya yang meninggal dunia akibat kemalangan 25 April lalu, mendorongnya membuat permintaan dalam kumpulan Facebook Edit Apa Hari Ni? kelmarin kerana mahu mengabadikan gambar berkenaan sebagai kenangan.

"Dulu kami akad nikah di pejabat Majlis Agama Islam saja. Tak semeriah orang lain kerana tak pakai baju kahwin atau duduk pelamin.

"Jadi, saya minta tolong pengikut di kumpulan Edit Apa Hari Ni? untuk edit (sunting) gambar saya dan arwah suami memakai baju pengantin berlatar belakangkan pelamin indah berwarna putih.

"Saya tahu mesti dia gembira kalau dapat tengok gambar ini.

"Saya anggap ini sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan kelapan kami yang jatuh pada 12 Disember lalu yang kali terakhir kami sekeluarga menyambutnya dengan meriah pada 2021," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Nur Shahira berkata, suaminya, Azman Ramlie, 25, meninggal dunia ketika dia masih hamilkan anak bongsu mereka yang berusia tiga bulan dalam kandungan.

"Suami sempat hantar saya ke klinik untuk pemeriksaan rutin dalam empat kali saja sebelum dia meninggal dunia.

"Jadi, saya nak print (cetak) dan letak dalam bingkai buat kenangan terindah dan tatapan anak kami apabila sudah besar nanti supaya biar mereka kenal siapa ayah mereka," katanya yang menetap di Petaling Jaya, Selangor.

Katanya, walaupun masih terkesan dengan kehilangan Azman, fokusnya kini membesarkan dua anak masing-masing berusia sebulan 14 hari serta tujuh tahun itu dengan sebaiknya.

"Cuma anak sulung masih ingat sampai sekarang dan setiap hari dia masih memeluk baju ayahnya ketika hendak tidur malam.

"Dia tak pandai nak luah perasaan dia tetapi saya tahu dalam hati dia sedih sangat ditinggal ayahnya kerana dia rapat dengan arwah suami.

"Tetapi, lama kelamaan dia mula memahami kerana saya cuba memujuknya supaya jangan menangis nanti ayahnya tidak tenang dan saya masih ada untuknya," katanya.

Dia juga berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang prihatin mendoakan mereka sekeluarga serta membantu membuat suntingan gambar berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 8:10 PM