POTONGAN kebaya moden memberi nafas baharu pada busana pengantin songket.
POTONGAN kebaya moden memberi nafas baharu pada busana pengantin songket.
Nurul Husna Mahmud


SEBUT sahaja Disember, selain dikaitkan dengan musim tengkujuh, satu lagi senario yang sinonim dengan kehadiran bulan berkenaan ialah musim perkahwinan.

Dalam majlis perkahwinan, menjadi sorotan setiap tetamu yang hadir adalah kelibat atau penampilan pasangan raja sehari.

Aura seri pengantin terserlah apabila pasangan berkenaan bijak memilih busana yang sesuai dan berupaya menonjolkan susuk serta personaliti mereka.

Ditambah dengan mengenakan aksesori seperti layah pada kepala

dan barangan kemas bagi pengantin wanita, pasangannya yang turut mengenakan persalinan sendondon melengkapi gaya terutama ketika sesi persandingan.

Menurut Perunding Perkahwinan Ayiey Zikry Wedding Home dari Jitra, Kedah, Mohd Noor Zikry Abdul Muin dalam pemilihan busana yang sesuai, pasangan perlu mengambil kira aspek terutama kesesuaian warna dan potongan rekaan baju.

"Tidak dinafikan gaya selebriti terutama yang tular atau dilihat sebagai 'Wedding Of The Year' menjadi ikutan ramai pasangan untuk tampil menonjol ketika berlangsungnya majlis mereka.

"Namun, itu tidak menjamin gaya busana pengantin menjadi pilihan mereka dapat mengangkat persona raja sehari atau kelihatan 'gah' di mata orang lain dengan hanya bersandarkan penampilan selebriti terbabit.

"Sebaiknya dapatkan nasihat pakar terutama perunding majlis yang berpengalaman dalam pemilihan busana mengikut keterampilan dan ciri-ciri unik terutama potongan tubuh pasangan bakal pengantin yang cukup berbeza," katanya.

Tambah Mohd Noor Zikry yang lebih mesra di sapa Ayiey, menyifatkan trend terkini bagi penggayaan atau tema busana pengantin terutama untuk majlis persandingan adalah konsep songket klasik.

Namun, gaya klasik terbabit diberi nafas baharu baik dari segi penggunaan motif dan warna fabrik supaya kekal menjadi pilihan kebanyakan pasangan pengantin baharu.

AKSESORI sanggul klasik dengan busana yang menonjol.
AKSESORI sanggul klasik dengan busana yang menonjol.

"Pada mata saya, gaya klasik masih menjadi 'jagoan' dalam pemilihan tema busana untuk digayakan bakal pengantin. Malah, ramai pereka ternama seperti Man Kajang, Hatta Dolmat dan Rizman Ruzaini mengambil inspirasi gaya klasik itu, tetapi dengan sentuhan rekaan moden.

"Terbaharu ialah perkahwinan Puteri Aishah Sulaiman yang mengenakan

busana songket berwarna gangsa dengan latar biru antara gaya mendapat pilihan atau permintaan ramai bakal pengantin.

"Selain itu, pesona pasangan selebriti Zizi Kirana dan Yusuf Bahrin yang berani mengenakan garapan warna songket hitam berbenang emas sebagai busana pengantin menjadi ikutan ramai bakal raja sehari," katanya.

Dalam menjadikan naskhah pereka ternama dan gaya selebriti sebagai rujukan, kata Mohd Noor Zikry, potongan tubuh dan keterampilan pasangan masih menjadi ciri-ciri utama dalam pemilihan penggayaan busana pengantin yang sempurna.

AYIEY memiliki kemahiran dalam menghasilkan busana dan kemasan yang mampu menaikkan seri pengantin.
AYIEY memiliki kemahiran dalam menghasilkan busana dan kemasan yang mampu menaikkan seri pengantin.

"Memang setiap kali pengantin datang temui saya di butik, mereka sudah ada rekaan yang diminati termasuk warna tema.

"Walaupun mereka klien, saya tidak sepenuhnya mengikut kehendak mereka kerana pada saya busana yang cantik dan mahal masih tidak dapat menandingi rupa yang sedap dipandang mata.

"Andai pasangan mendapatkan khidmat saya, memang saya jujur dalam memberi pandangan sama ada penampilan busana yang sesuai ataupun tidak. Tidak kira gaya itu tersenarai dalam pilihan utama si pengantin," katanya.

Kata pereka busana berusia 30 tahun itu lagi, cabaran untuk tampil sempurna, adalah kombinasi atau sinergi harmoni bagi pilihan busana sedondon apabila digayakan pasangan pengantin.

"Dalam cabaran untuk membantu pasangan pengantin memiliki keterampilan yang menonjol dan nampak sempurna pada hari bahagia, situasi itu masih dikaitkan dengan warna dan potongan rekaan baju terbabit.

VARIASI busana pengantin digayakan model.
VARIASI busana pengantin digayakan model.

"Sebenarnya dalam kebanyakan senario atau cabaran perunding perkahwinan itu sendiri termasuk saya, menghasilkan gaya sempurna buat pasangan pengantin yang tidak sepadan atau sempurna antara satu sama lain paling sukar.

"Ada kala pengantin lelaki kurus, tetapi pasangannya berbadan besar begitu juga sebaliknya. Jadi, perunding perlu bijak menyesuaikan gaya yang nampak 'ngam' atau serasi supaya pasangan itu tampak seimbang dalam penampilan mereka," katanya.

Kata Mohd Noor Khairy, peraturan digariskan dalam panduan pemilihan pakaian seharusnya menjadi keutamaan untuk bantu menonjolkan keterampilan pasangan.

"Selain mengetengahkan gaya klasik yang moden, bagi pengantin yang memiliki susuk lebar atau berangka besar biasanya akan disarankan menggayakan potongan songket warna gelap dengan motif yang kecil atau corak minimal.

"Bagi pengantin wanita, jika mereka mengenakan songket untuk bertubuh besar, saya akan gayakan mereka dengan potongan kebaya klasik atau kebaya moden kerana ini dapat menonjolkan bahagian tubuh menarik dan menyembunyikan bahagian badan yang tidak selesa dipertontonkan," katanya.

Sementara baju nikah pula biasanya busana berwarna putih atau pastel menjadi pilihan selamat dan sesuai dengan suasana majlis berkenaan.

"Biasanya busana lebih ringkas dan minimal perinciannya. Jadi, potongan kurung moden atau gaun potongan duyung menjadi pilihan kebanyakan pengantin.

"Warna juga selalunya berona lembut sesuai dengan suasana sekitar majlis nikah yang selalunya berlangsung dalam keadaan tenang selain di lokasi yang memerlukan pengantin berpenampilan sopan. Bagi lelaki masih potongan baju Melayu atau baju Melaju berkot," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 7:00 AM