Agensi

Khon Kaen (Thailand): Seorang penduduk di sini terkejut apabila menemui seekor ular berlingkar di dalam mangkuk tandas di rumahnya baru-baru ini.

Penduduk berkenaan kemudian menghubungi pasukan kecemasan untuk membantu menangkap ular itu.

Satu video yang dimuat naik di YouTube menunjukkan dua anggota pasukan kecemasan berusaha menangkap ular yang berada di dalam mangkuk tandas.

Dalam kejadian yang berlaku pada Isnin lalu, seorang anggota dilihat menggunakan satu kayu panjang dan berusaha untuk menangkap ular berkenaan.

Seorang lagi anggota yang memakai sarung tangan khas pula membantu bagi mengelak reptilia itu melarikan diri melalui lubang tandas.

Selepas beberapa ketika, akhirnya anggota pasukan kecemasan itu berjaya menangkap ular sepanjang hampir satu meter itu.

Jurucakap pasukan kecemasan memberitahu, haiwan itu adalah daripada spesies ular tikus dan ia tidak berbisa.

Menurutnya, ular itu dilepaskan di satu kawasan hutan yang jauh dari penempatan penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2016 @ 5:07 AM