SISWA Univeristi Khon Kaen mengadakan bantahan terhadap rampasan kuasa tentera semalam.
SISWA Univeristi Khon Kaen mengadakan bantahan terhadap rampasan kuasa tentera semalam.

Khon Kaen, Thailand: Lima siswa Universiti Khon Kaen ‘menyambut’ kedatangan Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha dengan mesej antikudeta sebelum dibawa pergi oleh polis semalam.

Penuntut fakulti undang-undang itu adalah antara hadirin yang berkumpul di dewan berkenaan untuk mendengar ucapan bekas panglima tentera itu.

Prayuth melawat Khon Kaen untuk melancarkan kempen mengatasi masalah kemarau di wilayah timur laut Thailand.

Berdiri kira-kira 10 meter dari podium, lima siswa terbabit memakai baju-T bertulis kenyataan mengecam rampasan kuasa oleh tentera yang diketuai Prayuth pada 22 Mei lalu.

Apabila Prayuth memulakan ucapan, siswa itu membuka lapisan luar baju mereka untuk menampakkan mesej berkenaan.

Tindakan itu jelas mengejutkan polis dan tentera yang berkawal.

Mesej tertulis di baju mereka ialah: “Kami menolak rampasan kuasa.”

Namun Prayuth kelihatan tidak terganggu dengan insiden itu, malah mencabar apabila bertanya dalam ucapannya: “Ada sesiapa mahu memprotes?” - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 5:08 AM