MANGSA yang tersangkut berjaya dikeluarkan pihak bomba. FOTO ihsan Bomba.
MANGSA yang tersangkut berjaya dikeluarkan pihak bomba. FOTO ihsan Bomba.
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menahan kesakitan lebih sejam selepas kakinya tersangkut pada mangkuk tandas rumahnya di Kampung Seelong Jaya, Skudai di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 1 petang, Muhammad Saifuddin Hakimi Rosmani, 8, hendak mandi dan bersiap untuk ke sekolah agama sebelum tergelincir dan kakinya termasuk ke dalam mangkuk tandas.

Bapanya cuba mengeluarkan kaki anak sulung daripada tiga beradik itu, namun selepas lebih sejam masih gagal dan terpaksa menghubungi pasukan bomba dan penyelamat.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, Mohamad Nazaruddin Ahmad Zainuddin berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 2.32 petang.

"Kaki mangsa berjaya dikeluarkan selepas anggota bomba terpaksa memecahkan sekeliling mangkuk tandas itu dan mangsa dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2015 @ 6:35 PM