JALAN berhampiran Kampung Sebat, Lundu ke Sematan yang dinaiki air pagi tadi. FOTO ihsan Bomba
JALAN berhampiran Kampung Sebat, Lundu ke Sematan yang dinaiki air pagi tadi. FOTO ihsan Bomba
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Kuching: Pusat pemindahan banjir di Dewan Masyarakat Trusan, Lawas di sini ditutup sepenuhnya dengan 17 mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas air surut sepenuhnya, hari ini.

Mangsa dari Kampung Siang-Siang, Lawas dibenarkan pulang ke rumah apabila bomba memastikan kediaman mereka selamat untuk diduduki dan pusat pemindahan ditutup sepenuhnya 10.15 pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata, ketika ini Balai Bomba dan Penyelamat Lundu membuat pemantauan di laluan utama ke Sematan, berhampiran Kampung Sebat, Lundu yang dinaiki air sedalam kira-kira 0.6 meter.

Menurutnya, laporan diterima pada 10.20 pagi dengan laluan terhad untuk dilalui oleh kenderaan biasa, bagaimanapun paras air semakin surut.

"Di Sibu, bomba membuat pemantauan di kawasan sering dinaiki air di Jalan Stabau dan Sentosa. Namun, keadaan terkawal, walaupun hujan berterusan sejak petang kelmarin.

"Di Kuching, bomba membuat pemantauan di Kampung Senari, Kampung Bako dan sepanjang Sungai Sarawak di sini, kerana khuatir berlaku banjir berikutan hujan yang bertembung dengan air pasang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2016 @ 1:58 PM