ANGGOTA bomba membantu penduduk yang terkandas akibat banjir kilat yang melanda Lawas, hari ini. FOTO IHSAN JBPM
ANGGOTA bomba membantu penduduk yang terkandas akibat banjir kilat yang melanda Lawas, hari ini. FOTO IHSAN JBPM
Mohd Roji Kawi


BEBERAPA kawasan di utara Sarawak dilanda banjir ekoran hujan lebat yang berterusan sejak semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tiong Ling Hii berkata, antara kawasan terjejas ialah Tatau, Bintulu; Lawas, Limbang dan Niah, Miri.

Bagaimanapun, katanya, tiada pemindahan penduduk dilakukan sehingga jam 5.30 petang ini dan air di beberapa kawasan didapati surut.

"Banjir di Tatau menenggelami beberapa jalan namun masih boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda dan pemantauan petang ini mendapati air mulai surut.

"Di Lawas pula, empat kampung terjejas apabila dinaiki air setinggi kira-kira 0.5 meter iaitu di Kampung Kerangan, Kampung Pengalih, Kampung Baru Mission dan Kampung Luagan," katanya dalam kenyataan media, petang ini.

Ling Hii berkata, di Niah, tiga rumah panjang dengan keseluruhan pintu berjumlah 176 turut terjejas akibat hujan lebat sejak malam tadi hingga pagi ini.

"Banjir di Rumah Panjang Steven Kedu yang sepanjang 39 pintu sudah naik ke paras kira-kira satu meter namun belum ada pemindahan penduduk dijalankan.

"Rumah Panjang Changgai yang mempunyai 70 pintu pula dinaiki air pada paras 1.5 meter, namun didapati mula surut petang ini manakala di Rumah Panjang Belili yang mempunyai 67 pintu, banjir sudah mula surut," katanya.

Menurutnya, pemantauan terus dijalankan dan arahan pemindahan penduduk akan dikeluarkan jika air naik ke paras bahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 6:55 PM