WARGA emas maut apabila van dipandu hilang kawalan sebelum terbabas merempuh pembahagi jalan. FOTO ihsan pembaca
WARGA emas maut apabila van dipandu hilang kawalan sebelum terbabas merempuh pembahagi jalan. FOTO ihsan pembaca
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


Rembau: Warga emas maut apabila van dipandu hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan di Kilometer 237.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah selatan, berhampiran Plaza Tol Pedas/Linggi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Ibrahim Shariff berkata, dalam kejadian 10 pagi itu, mangsa, Anuar Basha Shekar, 70, memandu berseorangan dari Senawang menuju Alor Gajah, Melaka.

Katanya, mangsa difahamkan mahu menghantar majalah ke negeri bahagian selatan sebelum van itu terbabas.

"Warga emas terbabit maut akibat tersepit dan mayat dibawa ke Hospital Tampin, dekat sini untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung ketika memandu menyebabkan keretanya terbabas dalam longkang di Kampung Baru Rasah, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, mangsa, Chong Yuen Ming, 53, ketika itu dalam perjalanan ke tempat kerja di Jalan Tok Ungku, di sini, jam 7.25 pagi.

Katanya, akibat insiden berkenaan, Perodua Viva dipandu lelaki itu terbabas dan memasuki longkang berhampiran.

"Mayat dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2016 @ 7:19 PM