Kemalangan mengorbankan tiga orang  di Kilometer 229.5, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah utara, berhampiran Plaza Tol Pedas/Linggi, Rembau, pagi hari ini.
Kemalangan mengorbankan tiga orang di Kilometer 229.5, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah utara, berhampiran Plaza Tol Pedas/Linggi, Rembau, pagi hari ini.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

 

[email protected]

TIGA maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 229.5, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah utara, berhampiran Plaza Tol Pedas/Linggi, Rembau, pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintendan Ibrahim Shariff berkata, kejadian 9.30 pagi membabitkan sembilan individu iaitu empat lelaki dan lima  wanita.

Katanya, kemalangan berlaku apabila sebuah Toyota Camry dinaiki empat individu di lorong paling kanan hilang kawalan dan bergesel dengan sebuah Toyota Vellfire yang berada di lorong tengah.

"Akibatnya, dua kenderaan itu terbabas dan memasuki longkang berdekatan.

"Pada kejadian ini, seorang warga emas, Keng Kim Seng, 76 maut di lokasi kejadian," katanya.

Beliau berkata, dua wanita, Keng Swee May, 30 dan Keng Swee Nee, 40 yang mengandung empat bulan meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di Hospital KPJ Seremban, dekat sini jam 10.30 pagi.

Katanya lagi, enam individu lain parah dan patah kaki dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban.

Menurut Ibrahim, dua kenderaan itu dalam perjalanan dari Alor Gajah, Melaka menuju ke Kuala Lumpur ketika kejadian berlaku.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2017 @ 1:15 PM