PESERTA dilepaskan bagi memulakan aktiviti Agrorace.
PESERTA dilepaskan bagi memulakan aktiviti Agrorace.
AKTIVITI rock climbing.
AKTIVITI rock climbing.
AKTIVITI berkayak pada waktu petang.
AKTIVITI berkayak pada waktu petang.
PESERTA membeli makanan di jualan trak makanan.
PESERTA membeli makanan di jualan trak makanan.
BERUSAHA menyelesaikan tugasan dalam acara Agrorace.
BERUSAHA menyelesaikan tugasan dalam acara Agrorace.
KESELURUHAN peserta Nafas Agro Youth Camp 2016.
KESELURUHAN peserta Nafas Agro Youth Camp 2016.
Fatin Farhana Japre


Seramai 5,000 belia menyertai perkhemahan Nafas Agro Youth Camp 2016 yang berlangsung ketika Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA 2016) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang, Selangor, baru-baru ini.

Program 11 hari anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bersama Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Dewan Perniagaan Usahawan Agro Malaysia (DPUAM) ini menyediakan pelbagai aktiviti menarik berkonsepkan ‘Agro Education, Agrofit dan Agrotainment’.

Peserta dibahagikan kepada tiga sesi apabila setiap sesi disertai 1,500 belia berbilang bangsa dan diselia 200 urusetia berpengalaman yang diketuai oleh Datuk Ahmad Mukhriz Ahmad Fuad.

Antara aktiviti yang disediakan untuk peserta ialah Agrorace, Agropoint, Voice of Youth Night, Agro Idol, Town Hall, Chillax bersama Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Agro Biz.

Tinjauan penulis mendapati peserta sangat teruja untuk membabitkan diri dalam semua aktiviti terutama Agrorace. Menerusi aktiviti ini, peserta perlu berfikir secara kreatif untuk menyelesaikan tugasan yang diberi secara berkumpulan. Antara tugasan yang perlu mereka laksanakan ialah mencari siput dalam lumpur, memancing ikan dan menanam nanas di 10 laman yang berbeza.

Selain itu, Voice of Youth Night juga memberi pengalaman berbeza kepada peserta kerana mereka dikehendaki menggubah lagu berkonsepkan pertanian seperti buah-buahan dan sayur-sayuran. Selepas tempoh dua jam, peserta perlu menyanyi atau menari secara berkumpulan di khalayak ramai dan diadili artis jemputan seperti Shiha Zikir serta Asfan Shah.

Pengisian program perkhemahan Nafas Agro Youth Camp 2016 bertambah menarik apabila Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek turun padang bagi sesi perkongsian mengenai pertanian secara santai bersama peserta.

Setiap aktiviti ditawarkan hadiah menarik untuk peserta iaitu wang tunai, pingat dan hadiah sagu hati daripada pihak MAHA 2016.

Pihak penganjur turut menyediakan aktiviti seperti memanah, ‘wall climbing’, ‘flying fox’, berkayak dan jualan trak makanan untuk peserta serta pengunjung yang hadir.

Program ini bertambah meriah dengan kehadiran artis tempatan antaranya Azrel Ismail, Aliff Aziz, Bella Nazari, Bella Astillah, Arja Lee, Azwan Kombos, Tania Hudson, Ruhainies dan Ezaty Abdullah.

Ahli Jemaah Pengarah NAFAS merangkap Pengerusi Jawatankuasa MAHA Agro Youth 2016, Datuk Ahmad Mukhriz Ahmad Fuad berkata walaupun program ini julung kali diadakan, ia mendapat sambutan luar biasa.

“Menerusi maklum balas peserta, kebanyakan mereka meminta program ini dianjurkan setiap masa dan bukan ketika MAHA sahaja. Kami sangat berbesar hati untuk meneruskan program ini pada masa akan datang dan mengharapkan sokongan generasi muda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2016 @ 11:43 AM